suria

Polis Sarawak siasat penafian wanita Penan yang dia pernah dirogol

KUCHING: Polis Sarawak telah pun memulakan siasatan terhadap laporan yang dibuat oleh seorang wanita kaum Penan bahawa dia diperdayakan supaya pergi ke Kuala Lumpur dan kemudiannya mendakwa dirogol oleh seorang pembalak.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC II Huzir Mohamed berkata siasatan berhubung penafian wanita Penan itu masih berjalan dan beberapa saksi dipanggil memberi keterangan.

"Tidak benar untuk mengatakan bahawa polis tidak menyiasat dakwaan itu. Apabila wanita Penan itu mendakwa dia dirogol, kami siasat. Apabila mangsa menafikan dia dirogol, kami siasat juga untuk mengetahui perkara sebenar.

"Kebenaran (sama ada wanita itu dirogol atau sebaliknya) akan terserlah dan mahkamah akan membuat keputusan," katanya kepada pemberita di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah di sini semalam.

Wanita Penan berusia 22 tahun itu, ibu kepada dua anak dari Baram, membuat laporan polis di Kuala Lumpur tahun lepas bahawa dia dirogol oleh seorang pembalak.

Bagaimanapun, pada 26 Sept tahun ini, wanita terbabit membuat satu lagi laporan di balai polis Long Lama di Baram dengan mendakwa dia diperdayakan supaya pergi ke Kuala Lumpur untuk membuat laporan itu.

Persatuan Wanita Desa Sarawak memberikan reaksi keras dengan mendakwa kegagalan polis untuk menyiasat dakwaan rogol itu mengakibatkan wanita berkenaan menafikan dia telah dirogol.

Misi mencari maklumat Majlis Tindakan Negara ke Baram tahun lepas mengesahkan berlaku penderaan seksual dan eksploitasi terhadap wanita kaum Penan, termasuk kanak-kanak perempuan bawah umur, oleh pembalak.

Laporan itu menyebut kaum Penan yang bergantung kepada kenderaan syarikat pembalakan untuk membawa mereka pergi dan balik dari rumah panjang ke sekolah, menjadikan mereka terdedah kepada serangan seksual.

Ia turut merekodkan sekurang-kurangnya lapan kes rogol dan pencabulan kanak-kanak perempuan bawah umur kaum Penan oleh pekerja pembalakan. BERNAMA

Artikel Lain