suria

Peniaga dipenjara dan disebat kerana merompak

KUALA LUMPUR: Seorang peniaga dikenakan hukuman penjara lapan tahun dan tujuh sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua tuduhan merompak pada Julai lepas.

Dalam tuduhan pertama, Muhamad Zamri Mezalan, 26, didakwa bersamasama lima lagi yang masih bebas merompak wang tunai RM110,000 milik Syarikat DSA Interior Sdn Bhd dan ketika kejadian Muhamad Zamri dengan sengaja mencederakan dua pengarah syarikat itu Kwan Hee Wee, 30, dan Chan Siew Meng, 44, dengan menggunakan parang serta besi.

Muhamad Zamri didakwa melakukan kesalahan itu di Batu 3 1/2, Jalan Cheras, pada 12.45 tengah hari, 13 Julai 2009, mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan. Bagi kesalahan itu, dia dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan empat sebatan.

Bagi tuduhan kedua, Muhamad Zamri didakwa bersamasama lima lagi yang masih bebas merompak seutas rantai emas, sebentuk cincin perkahwinan, sepasang antinganting, wang tunai RM900 dan jam tangan Tag Heuer milik Yronne June Ovinis, 39, dengan menggunakan sebilah parang.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Klinik United, Jalan Sepadu Petaling, pada 8.30 malam, 24 Julai lepas, mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Hakim Zainal Abidin Kamaruddin menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan tiga sebatan terhadap tuduhan kedua dan mengarahkan keduadua hukuman dijalankan serentak berkuat kuasa dari tarikh Muhamad Zamri ditangkap pada 6 September lepas. BERNAMA

Artikel Lain