suria

Pemuda Umno mahu polis siasat semula akuan berkanun bekas penolong gabenor Bank Negara

PORT DICKSON: Pergerakan Pemuda Umno menuntut supaya pihak polis menyiasat kesahihan berhubung akuan berkanun yang pernah dibuat oleh bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Murad Khalid terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim kira-kira 10 tahun lalu.

Sehubungan dengan itu ketua pergerakan tersebut, Khairy Jamaluddin berkata, Pemuda Umno akan memfailkan laporan polis untuk dimulakan siasatan terhadap Anwar berhubung isu ini seperti yang telah dibangkitkan semula oleh bekas rakan karibnya, Datuk S. Nallakarupan.

"Jika orang lain yang bangkitkan isu ini mungkin kita tidak berapa peduli, tapi ia dibangkitkan semula oleh Datuk Nallakarupan yang kita tahu mempunyai hubung yang akrab dengan Anwar dahulu.

"Datuk Nallakarupan mendakwa Anwar diketahui mempunyai pelbagai sumber kewangan yang besar seperti yang pernah didedahkan oleh Datuk Abdul Murad," katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) bagi peti undi Kampung Bharu Si Rusa di sini hari ini.

Nallakarupan dalam kenyataan akhbarnya baru-baru ini mendakwa bekas Timbalan Perdana Menteri itu mempunyai pelbagai sumber seperti yang pernah didedahkan Abdul Murad.Pada 26 Oktober 1999, Abdul Murad mendedahkan dalam akuan berkanunnya bahawa Anwar mengawal sebanyak 20 akaun induk yang diuruskan oleh kroni-kroninya membabitkan aset, saham dan wang bernilai lebih RM3 bilion.

Dalam akuan berkanun itu, Abdul Murad turut mendakwa Anwar menggunakan wang akaun induk tersebut untuk memajukan cita-cita politiknya.

Tambah Ahli Parlimen Rembau itu, Pemuda Umno memandang berat mengenai perkara tersebut dan berharap agar pihak polis menyegerakan siasatan berhubung kes ini kerana mempunyai kepentingan terhadap negara.

"Kita akan ketengahkan isu ini dan kita berharap ia akan mendapat perhatian dari pihak kerajaan dan agensi-agensi berkenaan terutamanya daripada pihak polis untuk memulakan siasatan.

"Saya merayu supaya buatlah siasatan yang rapi sebab semua butiran dan maklumat sudah ada (dalam kenyataan berkanun Abdul Murad).

"Mereka sudah boleh mulakan siasatan, saya sedih dan tak puas hati apabila Datuk Nallakarupan sudah bangkitkan tapi tak ada apa-apa tindakan susulan... sekurang-kurangnya mesti ada siasatan," katanya.

Menurut beliau, penangguhan berhubung siasatan kes-kes seumpama ini oleh pihak polis menjadi punca kemerosotan rakyat terhadap BN.

"Saya rasa ini antara punca kemerosotan sokongan rakyat terhadap kita... ini beri kesan kepada kita.

"Bila Pemuda bertindak untuk dapatkan kebenaran, sepatutnya mesti ada tindakan, kalau tidak rakyat akan lihat tiada sebarang tindakan susulan," katanya.

Artikel Lain