suria

Matikan bekalan elektrik sebelum menyamun, modus operandi terbaru penjenayah

PASIR PUTEH: Polis mengingatkan pekerja dan pengusaha stesen minyak supaya berwaspada sekiranya bekalan elektrik terputus secara tiba-tiba kerana ia mungkin merupakan modus operandi terbaru penjenayah untuk menyamun.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, DSP Mohd Kamal Zainal berkata, taktik terbaru itu menyaksikan penjenayah akan bertindak mematikan suis elektrik utama di stesen minyak yang menjadi sasaran mereka sebelum menyamun mangsa.

"Semalam, satu kejadian samun telah berlaku di stesen minyak Kampung Wakaf Lichong, dekat sini apabila dua pekerja stesen minyak warga Bangladesh keluar untuk memeriksa suis apabila tiba-tiba bekalan elektrik terputus.

"Ketika pekerja terbabit sedang memeriksa suis utama, dia tiba-tiba didatangi dua suspek lelaki berumur lingkungan 22 dan 26 tahun mengacukan pisau dan meminta mangsa menyerahkan wang tunai," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, akibat ketakutan pekerja terbabit menyerahkan wang berjumlah RM350 sebelum menjerit meminta tolong menyebabkan kedua-dua suspek melarikan diri. Menurutnya, orang ramai kemudiannya mengejar sehingga suspek terpaksa bersembunyi berhampiran kampung mereka.

"Bagaimanapun hasil tindakan pantas dan maklumat orang awam, dua suspek itu berjaya ditahan di sebuah rumah tidak bernombor kira-kira jam 6.30 pagi tadi di Kampung Gong Kedak, Bukit Yong.

Mohd Kamal berkata, sebilah pisau yang digunakan ketika menyamun mangsa dirampas daripada suspek dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

"Saya berharap pengusaha dan pekerja stesen minyak berhati-hati dengan modus operandi terbaru penjenayah itu kerana tidak mustahil penjenayah akan bertindak lebih agresif dan boleh menyebabkan kerugian yang lebih teruk pada masa yang lain," katanya. BERNAMA

Artikel Lain