suria

Kes Yik Sheng diklasifikasikan sebagai pendaftaran lewat

PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan mengklasifisikan kes Choong Yik Sheng, 99, sebagai pendaftaran lewat kelahiran untuk membolehkan beliau memiliki kad pengenalan atau MyKad selewatlewatnya akhir tahun ini.

Ketua Pengarah JPN Alwi Ibrahim berkata beliau akan mengarahkan pegawai JPN untuk berjumpa Choong secepat mungkin bagi mendapatkan maklumat peribadinya.

"Kita rasa dia tiada apaapa dokumen diri. Mungkin kita akan bagi borang berkaitan, borang daftar lewat kelahiran dan sebagainya. Kita akan proses secepat mungkin untuk bantu beliau," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Hari Raya Jabatan Imigresen di sini hari ini.

Semalam pegawai khas kepada Menteri Dalam Negeri. Datuk Lau Yeng Peng yang mewakili Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menemui Yik Sheng dan berjanji akan mempercepatkan permohonan MyKad itu.

Kisah Yik Sheng untuk mendapatkan permohonan MyKad sebelum umurnya mencapai 100 tahun disiarkan oleh akhbar Cina tempatan, Sin Chew Daily pada Sabtu.

Warga emas itu mendakwa dilahirkan di Serdang, Selangor pada tahun 1910 dan pernah berkahwin sebanyak tiga kali dan memaklumkan kesemua isteri dan seorang anaknya sudah meninggal dunia dan dua lagi dipercayai tinggal di Thailand. BERNAMA

Artikel Lain