suria

Empat penjenayah maut bertembakan dengan polis

KULIM: Polis menembak mati empat penjenayah dalam satu kejadian tembak-menembak di kawasan Bukit Kukus di sini pukul 9 pagi semalam.

Ketua Polis negeri Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, keempat-empat lelaki yang terbunuh itu adalah penjenayah yang dikehendaki dan mempunyai rekod jenayah rompakan bersenjata api di Kedah dan Pulau Pinang.

Katanya, mereka dikenali sebagai M.Jayaseelan, 29, R.Ramesh, 20, S.Sandra Kanapathy, 26, dan S.Suresh, 27, dipercayai sedang merancang untuk melakukan rompakan di kawasan perumahan Kulim High Tech Park di sini.

"Mereka mempunyai rekod jenayah khususnya dalam kes rompakan bersenjata dan dua daripada mereka beralamat di Kampung Lengkuas, Mukim Derang, Pokok Sena, seorang dari Taman Intan, Sungai Petani serta seorang lagi dari Taman Desa Batu, Batu Caves, Selangor," katanya dalam sidang akhbar di sini.

Beliau berkata, terdahulu, polis menerima maklumat orang awam yang melihat lelaki dalam sebuah kereta jenis Proton Waja dalam keadaan mencurigakan kerana memakai topeng ski.

Syed Ismail berkata, bertindak atas maklumat itu, dua buah kereta peronda polis kemudiannya mengikuti pergerakan kenderaan terbabit.

Katanya, keempat-empat lelaki yang berada dalam kereta itu bagaimanapun menyedari mereka sedang diekori dan kemudiannya terus memecut untuk melarikan diri.

"Setelah mengejar mereka selama 30 minit, salah sebuah kenderaan polis yang mengejar kereta suspek telah mengesan suspek memasuki sebatang jalan mati menuju ke sebuah lokasi tangki air di kawasan Bukit Kukus, berhampiran Jalan Paya Besar Taman Selasih di sini," kata beliau.

Beliau berkata, setelah mengepung kawasan itu, sepasukan polis meminta mereka menyerah diri tetapi salah seorang daripada mereka terus melepaskan tembakan ke arah anggota polis.

"Mereka kemudiannya cuba menyerang polis dengan parang dan polis terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri," kata beliau.

Syed Ismail berkata setelah membuat pemeriksaan dalam kenderaan mereka, polis menjumpai sepucuk pistol jenis Browning 0.9mm bersama lima butir peluru, tiga bilah parang, dua bilah pisau kecil, dua butir lagi peluru di ruang gear kereta serta dua topi keledar yang berpenutup muka dan beberapa helai topeng ski serta sebuah beg pakaian.

Katanya, dengan terbunuhnya empat suspek terbabit, polis percaya dapat selesaikan 41 kes rompakan bersenjata api dan parang yang berlaku di daerah ini sejak 2008 dan 2009.

"Polis kini sedang meneliti beberapa lagi kes rompakan yang mengguna modus operandi yang sama di Kuala Muda, Arau, Perlis dan Seberang Perai," kata beliau.

Beliau berkata, kereta jenis Proton Waja yang mereka gunakan adalah kereta yang disewa dari Alor Setar sejak Jumaat lepas dan mereka memasang plat palsu untuk tujuan rompakan. BERNAMA

Artikel Lain