suria

Ceramah PAS tak ramai sebab belum gear penuh - Dr Dzulkefly Ahmad

PORT DICKSON: PAS berkata sambutan dingin yang mereka terima pada siri ceramah yang dianjurkan parti itu setiap malam adalah kerana mereka belum lagi bergerak pada gear penuh.

Pengarah Operasi Jentera pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang, Dr Dzulkefly Ahmad berkata; "Pada tiap-tiap malam sekarang hanya ceramah-ceramah kecil, tapi tunggulah pada ceramah perdana yang akan kita adakan bermula tiga hari sebelum hari mengundi nanti.

"Pada masa itu kita akan turunkan nama-nama besar seperti Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan juga Mursyidul Am, Datuk Nik Aziz (Nik Mat).

"Namun ini tidak bermakna penceramah yang kita tampilkan pada setiap malam tidak berkualiti," katanya.

Katanya, buat masa ini, PAS memang sudah menjangkakan sambutan yang mereka terima agak dingin.

"Kita memang sudah menjangkakan mengenai perkara ini tapi apa yang penting ialah kita mesti memenuhi jadual... setiap malam mesti kena ada ceramah, mesti ada pengisian walaupun kecil," katanya.

Bercakap kepada mStar Online ketika dihubungi awal pagi ini, Dr Dzulkefly menjelaskan PAS lebih mementingkan kehadiran penyokong yang terdiri daripada kumpulan sasar iaitu pengundi DUN Bagan Pinang daripada orang luar yang datang untuk mendengar ceramah.

"Sama ada orang-ramai ataupun tidak itu bukan menjadi isu, tetapi apa yang lebih penting bagi kita ialah kehadiran penyokong-penyokong itu biarlah terdiri daripada kumpulan sasar.

"Kalau orang ramai tapi bukan pengundi pun tak guna juga... matlamat kita tak sampai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sambutan dingin pada setiap siri ceramah PAS yang diadakan pada setiap malam sejak Sabtu lalu.

Tinjauan mStar Online ke beberapa ceramah yang diadakan semalam di kawasan Bagan Pinang mendapati suasananya agak lengang dan muram jika dibandingkan dengan ceramah-ceramah PAS sebelum ini.

Ditanya sama ada faktor penceramah yang ditampilkan pada setiap siri ceramah kurang diminati atau tidak mempunyai daya tarikan kepada penduduk Bagan Pinang, beliau mengakui mengenai perkara tersebut.

Artikel Lain