suria

BN kukuh jika komponen amal perkongsian bijak - Muhyiddin

KUCHING: Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihatkan semua parti komponen Barisan Nasional (BN) untuk membina kesepakatan dan perkongsian bijak bagi membolehkan gabungan itu kekal bersatu dan kukuh bagi menghadapi sebarang cabaran.

Timbalan Perdana Mentei berkata konsep itu telah menjadi satu tanda ukur dalam BN dan harus dipertahankan kerana ia terbukti membuahkan hasil dan memanfaatkan rakyat.

"Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa mengingatkan semua parti komponen BN supaya sentiasa berada dalam keadaan kukuh, bersatu dan baik kerana kekuatan ini penting untuk menghadapi pelbagai bentuk cabaran pada masa akan datang.

"Oleh sebab itu, dalam situasi dan keadaan mana sekalipun, kita jangan mengabaikan kepentingan hubungan baik (antara komponen parti BN) ini," katanya ketika pada majlis ramah tamah di sini hari ini serta merasmikan mesyuarat perwakilan 12 cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dalam zon Kuching.

Muhyiddin juga berkata Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak merupakan satu aset terpenting kepada BN negeri dan pusat.

"Sarawak merupakan sebuah negeri yang penting di Malaysia. BN Sarawak adalah satu aset bagi BN di negara ini. Dalam BN Sarawak, PBB merupakan asset terpenting bagi kita.

"Oleh itu, saya cukup yakin seluruh pimpinan PBB di sini telah berjaya memantapkan politik di negeri Sarawak, bukan saja mampu pertahankan apa yang ada tetapi mampu mempertingkatkan sokongan dan dokongan rakyat kepada pimpinan BN di masamasa yang akan datang. Kita amat menghargainya," katanya.

Muhyiddin berkata kerajaan BN akan meneruskan doktrin politik pembangunan untuk memepertahankan kekuatan bagi menerajui pemerintahan dan pentadbiran negara.

"Kita tahu kita bakal berhadapan cabaran lebih besar di masa akan datang. Bukan sahaja dalam soal politik penting untuk mempertahankan kekuatan dan kedudukan kita tetapi tidak kurang penting juga bagi kita untuk meneruskan doktrin politik pembanguan. "Ini disebabkan rakyat mahu kerajaan menyediakan apa yang mereka mahukan dari segi pembangunan ekonomi, sosial, politik, budaya dalan lain-lain," katanya.

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud pula berkata BN Sarawak yakin untuk mengekalkan lebih dua pertiga kerusi daripada 71 kerusi di negeri itu dalam pilihan raya negeri akan datang.

Taib yang juga Pengerusi BN Negeri dan Presiden PBB yakin PBB sebagai tulang belakang BN Sarawak akan mencatat kemenangan 100 peratus daripada kerusi yang bakal dipertandingkan dalam pilihan raya negeri akan datang.

"Ada juga komponen parti BN Sarawak boleh mencatatkan kemenangan 100 peratus tetapi ada juga menghadapi masalah kecil. Namun ia menjadi tanggungjawab kita bersama menghadapinya agar kekuatan BN Sarawak bakal memenangi lebih 60 kerusi daripada 71 kerusi itu," katanya.

Pada majlis yang sama, Taib mewakili kerajaan negeri Sarawak menyerahkan cek bernilai RM500,000 kepada Muhyiddin untuk Tabung Gempa Bumi di Padang, Sumatera. BERNAMA

Artikel Lain