suria

Tiada cadangan henti hantar pelajar ke negara berisiko bencana alam

SELAMA: Kerajaan tidak bercadang menghentikan penajaan atau melarang ibu bapa daripada menghantar pelajar ke negara yang sering menghadapi bencana alam seperti Indonesia, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata risiko bencana alam seperti gempa bumi yang berlaku di Indonesia bukan bencana yang berterusan.

"Saya tidak fikir jadi bila dah berlaku (gempa bumi), kita tidak lagi hendak hantar pelajar ke sana. Peluang belajar ada di mana-mana... banyak institusi pengajian tinggi di sana yang menarik minat orang Malaysia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Larut di sini pada Ahad.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata kejadian gempa bumi di Sumatera Barat, Indonesia, pada 30 Sept tidak akan menjejaskan keputusan kerajaan untuk terus menghantar pelajar ke sana atau menghalang ibu bapa yang menaja pengajian anak mereka terutama dalam bidang perubatan.

Malah, katanya kerajaan membuka peluang seluas-luasnya kepada ibu bapa untuk memilih negara dan menaja sendiri program pengajian yang dikehendaki.

Beliau berkata isu berkenaan sebenarnya tidak timbul kerana ekoran bencana di Padang minggu lepas, ada kalangan ibu bapa yang meminta anak mereka supaya tidak pulang tetapi terus tinggal di Sumatera Barat untuk membantu mangsa gempa bumi dan ada juga yang mahu anak mereka kembali ke sana bila keadaan sudah pulih.

"Ada kalangan ibu bapa berpendapat anak mereka yang masih di sana patut terus berada di sana untuk membantu," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata deraf akhir pindaan Akta Bahasa Kebangsaan 1963 yang akan memberi kuasa penguatkuasaan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi memartabat bahasa Malaysia telah pun diserahkan oleh Jabatan Peguam Negara kepada kementeriannya.

Katanya pindaan itu akan dibentangkan ke Parlimen selepas mendapat kelulusan Kabinet.

Turut hadir ialah Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Ketua Umno Bahagian Larut, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar dan Aanggota Parlimen Larut yang juga Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Hamzah Zainuddin. BERNAMA

Artikel Lain