suria

Najib akan bawa isu bencana alam ke UNESCO

PARIS: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membayangkan yang beliau akan membawa isu bencana alam di peringkat serantau ketika menyampaikan ucapan pada persidangan agung UNESCO di sini pada Selasa.

"Kita perlu menguruskan sesetengah bencana alam ini yang menimbulkan kesengsaraan di peringkat serantau. Saya akan menyuarakannya dalam ucapan saya di persidangan agung UNESCO," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis sambutan rumah terbuka sempena Hari Raya 1Malaysia yang dihadiri oleh rakyat Malaysia dan tetamu luar negara yang diadakan di Pavillon Dauphine in Place du Marechal de Lattre Tassigny, di sini pada Ahad.

Najib dijadual berucap pada Persidangan Agung Pertubuhan Bangsabangsa Bersatu mengenai Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan (Unesco) pada 6 Oktober sempena lawatan empat hari beliau ke Perancis yang bermula pada Ahad. Ini kali pertama pemimpin dari Malaysia diberikan penghormatan untuk menyampaikan ucaptama pada persidangan itu.

Malaysia dilaporkan menyalurkan tiga jenis bantuan kepada mangsa gempa bumi yang melanda Sumatera barat, Indonesia, iaitu bantuan daripada segi usaha mencari dan menyelamat, bantuan perubatan dan bantuan kemanusiaan.

Menyentuh lawatan beliau ke Perancis, Najib berkata hubungan dua hala MalaysiaPerancis dapat dipertingkatkan dan diperkukuhkan lagi dalam bidang perdagangan, pelaburan, teknologi, kesenian, pelancongan, pendidikan, pertahanan dan bidangbidang lain yang memberikan keuntungan kepada keduadua buah negara.

"Terdapat prospek yang baik, kita perlu bekerjasama dalam apa jua bidang yang boleh," katanya sambil menambah pelbagai ruang kerjasama yang bermanfaat kepada keduadua buah negara diwujudkan.

Malaysia selain berada di kedudukan strategik di rantau Asia tenggara, sejak dulu lagi mempunyai hubungan yang selesa dengan negara dari Eropah dan Amerika Syarikat, katanya.

Najib turut menggesa rakyat Perancis mempertimbangkan Malaysia sebagai rakan kongsi dalam bidang pelaburan dan perdagangan atau dalam pemindahan teknologi.

Beliau juga berharap hubungan Malaysia dan Perancis dapat menyumbang dalam mengatasi cabaran global terutamanya kesan daripada keadaan ekonomi dunia yang merudum ketika ini.

Najib berkata dalam pertemuannya dengan Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy pada hari terakhir lawatan beliau ke sini, mereka akan membincangkan bentuk corak kewangan yang baru. Terdahulu, ketika mengadakan perjumpaan dengan pelajar Malaysia di sini, Najib dalam reaksi balasnya terhadap soalan yang dikemukakan mengenai sistem pendidikan di Malaysia, berkata sistem pendidikan yang diamalkan di Malaysia telah diwarisi dari dulu lagi di mana pelbagai komuniti akan menentukan bentuk pendidikan yang dipilih untuk anakanak mereka.

Beliau memberikan contoh bagi masyarakat Cina mereka mahu menghantar anakanak mereka ke sekolah aliran Cina.

"Walaupun ia sesuatu yang tidak ideal tetapi pilihan itu sesuatu yang terpaksa kita terima kerana ia pilihan oleh komuniti Malaysia. Jika kita menentang pilihan itu, ia pastinya boleh menimbulkan masalah sosial," katanya.

Bagaimanapun, menurut Najib walaupun para pelajar mendapat pendidikan daripada aliran sekolah yang berbeza, jika mereka menghayati konsep 1Malaysia, ia akan dapat menggalakkan interaksi yang baik secara langsung pada masa depan.

Beliau juga berkata kerajaan telah mengambil langkahlangkah untuk menjadikan sekolah kebangsaan lebih menarik terutamanya kepada pelajar bukan Melayu.

Berhubung permintaan rakyat Malaysia di Perancis yang mahukan Dewan Malaysia atau Dewan 1Malaysia diwujudkan di bandaraya ini, Najib berkata beliau telah menugaskan Duta Malaysia ke Perancis Datuk S. Thanarajasingam untuk meneliti cadangan itu.

"Kita akan kaji cadangan itu," katanya. Menurutnya beliau turut mendapat banyak permintaan bagi mewujudkan Dewan 1Malaysia di negara-negara lain. BERNAMA

Artikel Lain