suria

Lelaki menyamar pegawai JPJ ditahan

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki berumur 41 tahun kerana menyamar sebagai pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di hadapan restoran Victoria Station di Medan Damansara dekat sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata ketika ditahan lelaki itu yang memakai jaket JPJ sedang menahan seorang pemandu kereta kira-kira pukul 9.35 malam.

Beliau berkata sebuah kereta peronda polis yang kebetulan lalu di situ dan apabila ditanya lelaki itu mengaku sebagai pegawai JPJ tetapi apabila diminta menunjukkan bukti, lelaki itu gagal berbuat demikian.

"Menurut aduan pemandu kereta itu beliau cuba ditahan oleh suspek berhampiran Kuala Lumpur Golf Country Club (KLGCC), tetapi oleh kerana takut beliau memecut keretanya dan dikejar oleh suspek sehingga dipintas berhampiran restoran itu," katanya kepada Bernama.

Ku berkata suspek dan pemandu kereta itu kemudiannya dibawa ke Balai Polis Jalan Travers untuk diambil keterangan dan hasil siasatan suspek didapati memiliki pelbagai lencana JPJ, jaket JPJ berpangkat dan satu cop JPJ.

Beliau berkata suspek ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan. BERNAMA

Artikel Lain