suria

Lelaki Afrika ditahan dalam cubaan pecah rumah

AMPANG: Cubaan empat lelaki dipercayai dari Afrika untuk melakukan samun di sebuah rumah di Taman Putra di sini tidak kesampaian apabila kehadiran mereka disedari pengawal keselamatan yang membuat rondaan sehingga tertangkapnya salah seorang daripada mereka malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Abdul Jalil Hassan berkata kesemua mereka yang menaiki sebuah kereta dilihat berhenti di hadapan sebuah rumah yang tidak berpenghuni kira-kira pukul 8 malam.

"Salah seorang daripada empat lelaki tersebut cuba memotong gate rumah tersebut bagaimanapun pengawal keselamatan yang melakukan rondaan, curiga dengan tindakan lelaki itu yang cuba melarikan diri apabila didekati," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Sistem Kawalan Berpagar di Taman Putra Ampang di sini semalam.

Beliau berkata lelaki berusia 30-an itu kemudiannya cuba memasuki kenderaan yang menunggu di tepi jalan, bagaimanapun tindakan pantas pengawal keselamtan itu berjaya menahan lelaki tersebut.

"Bagaimanapun tiga lelaki di dalam kenderaan itu sempat melarikan diri. Mereka keluar dengan memotong tali palang di jalan masuk ke taman tersebut," katanya. Abdul Jalil berkata siasatan awal mendapati kumpulan tersebut turut membawa beberapa peralatan untuk memecah.

Abdul Jalil berkata inisiatif penduduk mewujudkan Sistem Kawalan Berpagar di jalan keluar masuk perumahan itu merupakan langkah yang sangat baik sebagai usaha mencegah jenayah.

Polis katanya akan membantu memberi tunjuk ajar dan panduan kepada pengawal keselamatan di taman-taman perumahan di sekitar Ampang tentang cara-cara yang berkesan untuk melakukan rondaan dan kawalan cegah jenayah.

Selain itu katanya bagi memastikan pengawal keselamatan di seluruh Ampang bersih dari sebarang rekod jenayah, beliau meminta persatuan tamantaman perumahan yang ingin mengambil pengawal keselamatan memaklumkan data peribadi pengawal keselamatan kepada polis untuk diperiksa rekod mereka.

"Terdapat keskes di mana pengawal keselamatan sendiri yang melakukan jenayah, jadi dengan cara ini sedikit sebanyak akan dapat atasi masalah tersebut apabila tapisan awal dapat dilakukan," katanya. BERNAMA

Artikel Lain