suria

Jangan 'hijack' MIED dari MIC

PETALING JAYA: Bekas Timbalan Presiden MIC, Datuk S. Subramaniam memberi amaran agar mana-mana pihak termasuk Presidennya, Datuk Seri. S. Samy Vellu tidak membawa keluar sayap pendidikan parti, Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) - yang kini bernilai RM1 bilion, sekali gus menjadikannya sebuah yayasan.

Subramaniam memberitahu, MIED dan AIMST merupakan dua sayap pendidikan milik MIC, dan tidak wajar disusun menjadi entiti berasingan sebagai sebuah yayasan.

"MIED adalah harta MIC, begitu juga institusi pengajian tinggi milik MIC, AIMST (yang beroperasi di Kedah)... kekalkan kedua-dua badan ini dalam MIC.

"Saya berharap tiada usaha oleh mana-mana pihak untuk membawa keluar MIED, AIMST dari MIC," kata beliau pada sidang media di sini petang semalam.

Sehubungan itu beliau berharap Samy Vellu akan menyatakan perkara sebenar berhubung laporan sebuah portal berita yang terbit empat hari lalu.

"Jika tidak benar, OK. Saya berharap begitu," katanya lagi.

MIED yang ditubuhkan pada 1984 kini menguruskan AIMST atau Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia yang terletak di Semeling, Kedah.

Pada tahun 1996/97, MIED menerusi MIC memulakan usaha menubuhkan AIMST.

MIED juga menyediakan bantuan kewangan pendidikan.

Subramaniam mengulas temu bual Samy Vellu dengan sebuah portal berita tiga hari lalu.

Dalam temu bual itu, Samy Vellu menegaskan, tiada apa-apa kaitan antara MIED dan AIMST dengan MIC.

Samy Vellu menambah, kedua-dua sayap pendidikan itu ditubuhkan atas kapasiti peribadi beliau sebagai Presiden MIC apabila pentadbiran bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad meminggirkan masyarakat India daripada arus perdana pembangunan negara ini.

Kata Samy Vellu, oleh kerana beliau merupakan Presiden MIC, itu tidak bermakna MIED dan AIMST adalah milik parti itu.

Samy Vellu menjadi Presiden pada 1981.

Subramaniam yang gagal mempertahankan kedudukannya sebagai Timbalan Presiden MIC pada tahun 2006 dan 12 Septemebr lalu berkata, laporan-laporan media dan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan sejak 1980-an menunjukkan MIED adalah milik MIC.

Oleh itu beliau yang juga salah seorang ahli MIED memberitahu, beliau akan mengambil apa juga bentuk tindakan untuk memastikan MIED dan AIMST kekal sebagai badan sedia ada.

"Saya akan menggunakan segala usaha... usaha secara peribadi, usaha parti, usaha kerajaan, usaha lain untuk memastikan MIED kekal sebagai sedia kala," katanya.

MIED mempunyai 25 ahli dan tujuh orang pemegang amanah manakala Samy Vellu merupakan Presidennya.

Mereka merupakan barisan tertinggi kepimpinan MIC.

"Setiap pemimpin MIC dan ahli MIC telah menyumbang untuk menjadikan AIMST realiti.

"Ia adalah pencapaian kolektif MIC dan bukannya hasil mana-mana satu individu sebagaimana didakwa oleh Samy Vellu," katanya.

Artikel Lain