PORT DICKSON: Umno akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang mengedarkan surat palsu yang bertujuan memecah-belahkan hubungan antara ibu pejabat Umno, Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan dan Umno Bahagian Teluk Kemang khususnya.Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebelum itu menafikan kesahihan surat yang kononnya ditulis oleh beliau kepada Badan Perhubungan Umno Negeri agar memilih Tan Sri Mohd Isa Samad sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang. "Kita akan meneliti perkara ini dan kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang mengedarkannya."Kita percaya ini adalah perbuatan pihak pembangkang yang cuba memecah belahkan hubungan yang begitu baik dalam Umno di semua peringkat khususnya Umno Bahagian Teluk Kemang," katanya kepada mStar Online.Surat yang menggunakan kepala surat rasmi Setiausaha Agung Umno itu yang kini mula diedarkan di sekitar DUN Bagan Pinang antaranya ditulis seperti berikut: "Pihak Majlis Tertinggi amat dukacita memaklumkan bahawa calon yang dicadangkan oleh Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan terpaksa ditolak kerana Presiden parti mahukan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai calon PRK N31 Bagan Pinang."Tengku Adnan turut mengecam taktik kotor yang digunakan oleh pembangkang dan mendakwa mereka sudah kekeringan idea untuk berkempen."Jangan gunakan cara kotor untuk berkempen...saya ingin nasihatkan mereka supaya kalau nak berkempen, gunakan kaedah yang lebih sihat."Jangan suka memfitnah semata-mata mahu meraih undi dan sokongan," katanya.Dalam pada itu beliau turut menasihatkan pengundi di DUN Bagan Pinang supaya tidak terperdaya dengan kandungan surat berkenaan.Salinan surat berkenaan kini turut dimuatkan dalam laman web rasmi Umno.Pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang menyaksikan saingan satu lawan satu antara calon BN, Mohd Isa dan PAS yang diwakili Suruhanjaya negeri, Zulkefly Mohamad Omar.Kerusi DUN Bagan Pinang kosong selepas penyandangnya Azman Mohammad Nor yang mewakili BN pada Pilihan Raya Umum Mac 2008 meninggal dunia akibat jangkitan dalam darah di Hospital Pakar Seremban (SSH), awal bulan lalu.Allahyarham yang bertanding pertama kali, memenangi kerusi berkenaan dengan memperolehi 6,430 undi, menewaskan calon PAS, Ramli Ismail. Beliau menang dengan majoriti 2,333 undi.