suria

PAS dakwa BN sudah kering modal kempen

PORT DICKSON: PAS mendakwa Barisan Nasional (BN) sudah kekeringan modal yang ingin dibangkitkan pada kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang apabila memainkan isu hanya anak tempatan sahaja yang berupaya untuk membawa pembangunan terhadap penduduk setempat.

Naib Presidennya, Salahuddin Ayub berkata isu anak tempatan tidak seharusnya menjadi pengukur kepada usaha pembangunan yang ingin dibawa.

"Mereka jadikan isu anak tempatan sebagai modal, tapi kita harus ingat sewaktu bertanding di Permatang Pasir pada pilihan raya kecil yang lepas, calon kita juga pada masa itu bukanlah calon tempatan jika nak dibandingkan dengan calon BN.

"Tapi rakyat sedia berubah dan tidak mustahil calon kita kali ini juga akan diterima oleh pengundi di DUN Bagan Pinang," katanya di sini hari ini.

Pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang yang akan diadakan pada 11 Oktober ini menyaksikan saingan satu lawan satu antara calon BN iaitu Tan Sri Mohd Isa Samad dan PAS yang diwakili Pesuruhjaya negeri, Zulkefly Mohamad Omar.

Salahuddin berkata, beliau ingin mengingatkan pengundi di DUN Bagan Pinang bahawa Mohd Isa bukanlah anak jati Negeri Sembilan kerana bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu dilahirkan di Melaka.

"Tidak mustahil pengundi di sini akan memilih Zulkefly yang merupakan anak jati Negeri Sembilan," katanya.

Tambah beliau lagi, formula hanya pemimpin di kalangan anak tempatan yang boleh memastikan projek-projek pembangunan dijalankan juga tidak boleh diterima.

"Sekiranya isu anak tempatan, isu projek-projek yang BN lakukan menjadi mainan utama dan kononnya orang di luar daerah tak boleh buat.

"Hanya anak tempatan di sini yang boleh melaksanakan projek dengan baik, saya ingin dedahkan mengenai satu projek terbengkalai sewaktu Tan Sri Isa menjadi Menteri Besar," katanya.

Salahuddin mendakwa, terdapat beberapa projek yang masih terbengkalai seperti pembinaan perhentian bas di kawasan DUN Linggi serta projek naik taraf jalan utama Pasir Panjang ke Linggi sewaktu Mohd Isa menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi.

"Sewaktu menjadi ADUN Linggi, jalan utama Pasir Panjang ke Linggi dengan jarak lebih kurang 10 kilometer yang dibaiki sejak beliau menjadi Menteri Besar tidak kunjung siap sampai sekarang," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain