suria

Najib luang masa lawat mangsa gempa bumi di HKL

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam meluangkan masa melawat penuntut Malaysia yang cedera di Padang, akibat kejadian gempa bumi yang melanda Sumatera Barat pada Rabu lepas, di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini.

Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor tiba dari Pekan, Pahang kira-kira 5.15 petang dan terus dibawa ke Wad 2 (Ortopedik) HKL untuk melawat Felicia Francesca Francis Dass, 23.

Mereka yang diiringi Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah, meluangkan masa kira-kira 15 minit untuk melihat dan mendapatkan maklumat mengenai keadaan pelajar berkenaan.

Terdahulu, Perdana Menteri dan isteri meraikan kira-kira 50,000 tetamu yang mengunjungi Rumah Terbuka Aidilfitri mereka di Dataran Pekan, Pahang.

Dalam kejadian kira-kira 5.16 petang waktu tempatan, Felicia Francesca, pelajar tahun tiga perubatan di Universitas Andalas, cedera tulang belakang, kepala, dada dan leher akibat dihempap besi yang runtuh dari siling rumah sewanya. Sementara itu, Pegawai Perubatan Registrar Ortopedik Kamarul AlHaqq Abdul Ghani ketika ditemui berkata keadaan Felicia Francesca kini stabil.

Anak sulung daripada tiga beradik itu akan dibenarkan pulang apabila sakit yang dirasainya semakin berkurangan dan beliau perlu menjalani rawatan susulan setiap bulan di HKL, katanya.

Beliau berkata rawatan ke atas Felicia Francesca akan melibatkan pemakaian 'cervical collar' untuk merawat bahagian leher manakala 'lumbar corset' pula di bahagian pinggang.

"Pemakaian kedua-dua peralatan perubatan itu memakan masa dua atau tiga bulan supaya kecederaan yang dialaminya pulih," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain