suria

Awas taktik kotor pembangkang di Bagan Pinang - Muhyiddin

SELAMA: Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengingatkan jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) supaya bersedia menangkis taktik-taktik kotor pembangkang pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pembangkang kini tertekan dalam menghadapi pilihan raya berkenaan dan telah pun memulakan taktik kotor sejak hari penamaan calon semalam.

"Mereka dah tunjuk belang... tumbuk MT (anggota Majlis Tertinggi Umno). Kita dapat maklum balas pembangkang kini rasa tertekan kerana calon kita jauh lebih popular," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Larut di sini hari ini.

Semasa proses penamaan calon pilihan raya kecil itu semalam, Anggota MT Umno yang juga Ketua Umno bahagian Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, membuat laporan polis setelah didakwa ditumbuk di bahagian belakang, leher dan pipi ketika melalui kawasan penyokong PAS berkumpul.

Pilihan raya kecil pada 11 Okt ini menyaksikan perlawanan satu lawan satu antara BN yang diwakili bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Zulkefly Mohamad Omar.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, antara taktik kotor yang digunakan pembangkang adalah dengan mengedarkan surat palsu bagi mempengaruhi pengundi bahawa berlaku konflik kepimpinan Umno dalam soal pemilihan calon. Setiausaha Agung Umno dan BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor semalam menafikan beliau telah menulis surat kepada Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan supaya memilih Mohd Isa selaku calon BN.

Katanya surat yang menggunakan kepala surat rasmi Setiausaha Agung Umno itu yang kononnya ditandatangani beliau, adalah dipalsukan oleh pembangkang dan menyifatkannya sebagai taktik kotor pembangkang dalam usaha memburuk-burukkan hubungan antara Ibu Pejabat Umno, anggota MT parti dengan badan perhubungan negeri dan Umno bahagian Teluk Kemang.

Muhyiddin berkata selain taktik kotor seperti itu, pembangkang akan meneruskan taktik stereotaip seperti membangkitkan pelbagai isu untuk dieksploitasikan.

Katany,a taktik pembangkang adalah seperti biasa pada mana-mana pilihan raya kecil dengan mengeskploitasikan isu yang sebahagiannya pun dibuatbuat oleh mereka.

"Saya dah beri amaran kepada jentera dan ahli Umno dan BN supaya hadapi taktik kotor ini... kita sudah bergerak dan sambutan yang diterima daripada pengundi adalah baik tetapi kita tidak boleh leka sehingga hari pengundian," katanya.

Beliau berkata, yang penting adalah usaha memberi maklumat dan penerangan yang tepat diteruskan supaya pengundi tidak terpengaruh dengan taktik dan dakyah pembangkang.

Ditanya sejauh mana taktik kotor pembangkang boleh mempengaruhi keputusan pilihan raya kecil berkenaan, beliau berkata walaupun BN yakin menang tetapi ia tidak boleh terlalu yakin dan membiarkan pembangkang mempengaruhi pengundi.

Muhyiddin berkata, BN yakin menang dan mahu mencapai kemenangan dengan majoriti yang lebih baik tetapi jentera pilihan rayanya telah diminta supaya tidak ambil mudah dan berasa "over confident".

"Apa yang berlaku dalam kempen (pilihan raya) sasarannya adalah pengundi," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain