suria

Polis rampas rokok seludup bernilai RM300,000

KUALA LUMPUR: Polis merampas 6,050 karton rokok pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM300,000 yang diseludup masuk ke negara ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Abdul Jalil Hassan berkata rokok itu dirampas dari sebuah lori di satu kawasan lapang di Hulu Kelang, di sini, kira-kira pukul 6.30 petang, semalam.

Beliau berkata orang awam di kawasan itu yang terlihat empat lelaki terbabit dalam keadaan mencurigakan telah menghubungi pihak polis.

"Kesemua suspek bagaimanapun dapat melarikan diri menaiki sebuah kereta Perdana bersama kunci lori berkenaan sebaik menyedari kehadiran pihak polis," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sementara itu, Abdul Jalil berkata seramai 127 orang termasuk empat pelajar sekolah menengah ditahan atas pelbagai kesalahan dalam operasi bersepadu yang dijalankan sejak sembilan hari lepas yang berakhir semalam di sekitar Ampang Jaya.

"86 yang ditahan disahkan positif dadah termasuk sepuluh wanita dalam lingkungan usia antara 20 hingga 40 tahun melibatkan pelbagai jenis dadah seperti ganja, morfin dan methaphetamine," katanya.

Menurut Abdul Jalil empat pelajar sekolah yang ditahan kesemuanya lelaki dalam lingkungan umur 16 tahun itu kerana kesalahan mencuri motosikal dan siasatan turut dibuat sama ada mereka turut terlibat dengan kes jenayah lain.

Katanya, polis turut merampas beberapa jenis senjata yang digunakan penjenayah seperti pistol mainan, parang, batang kayu besball, tukul besi, pisau termasuk pelbagai jenis telefon bimbit dan 11 mesin judi berkomputer.

"Kita percaya penjenayah kini bergerak secara berkumpulan dengan menggunakan motosikal menjadikan restoran makanan segera dan stesen minyak sebagai kawasan sasaran untuk meragut dan menyamun," katanya.

Beliau berkata operasi bersepadu itu yang membabitkan jabatan narkotik, jenayah dan trafik akan diteruskan bagi mengurangkan kadar jenayah terutama ragut dan samun. BERNAMA

Artikel Lain