suria

Jangan terlalu yakin - Muhyiddin

PORT DICKSON: Faktor populariti calon Barisan Nasional (BN), Tan Sri Mohd Isa Samad tidak seharusnya menjadi alasan untuk jentera parti itu mengambil mudah dan bersikap terlalu yakin.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan supaya semua jentera parti bekerja keras dengan lebih bersemangat untuk meraih undi bagi memastikan penguasaan BN di DUN Bagan Pinang berjaya dikekalkan.

"Kita tak boleh lalai atau abaikan tanggungjawab ataupun bersikap terlalu selesa kerana sindrom terlalu selesa ini kadang-kadang berbahaya.

"Malah saya juga ingin ingatkan diri saya dan rakan-rakan dalam BN bahawa kita perlu bekerja bersungguh-sungguh tanpa mengambil jalan mudah kerana jika kita terlalu yakin ia akan menjadi satu ancaman kepada kita," katanya dalam sidang media selepas pengumuman nama calon dibuat di dewan Majlis Perbandaran POrt Dickson di sini hari ini.

Pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara BN dan PAS yang diwakili Pesuruhjaya negeri, Zulkefli Mohamad Omar.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong selepas penyandangnya Azman Mohammad Nor yang mewakili BN pada Pilihan Raya Umum Mac 2008 meninggal dunia akibat jangkitan dalam darah di Hospital Pakar Seremban (SSH), awal bulan lalu.

Allahyarham yang bertanding pertama kali, memenangi kerusi berkenaan dengan memperolehi 6,430 undi, menewaskan calon PAS, Ramli Ismail. Beliau menang dengan majoriti 2,333 undi.

Tambah Muhyiddin lagi, kesemua jentera parti perlu menggandakan usaha masing-masing untuk meraih undi kerana pilihan raya di negara ini dijalankan berdasarkan amalan demokrasi.

"Dalam pilihan raya sistem demokrasi dilaksanakan... dan setiap pengundi mempunyai hak untuk memilih pemimpin mereka," katanya.

Oleh yang demikian menurut Timbalan Presiden Umno itu, jentera parti perlu meneruskan usaha menemui seramai mungkin pengundi bagi menjelaskan mengenai agenda pembangunan kerajaan.

"Memandangkan tempoh kempen pendek... kita perlu beri tumpuan penuh dan kita akan jumpa pengundi untuk sampaikan risalah cerita-cerita baik," katanya.

Dalam pada itu mengulas mengenai kelayakan Mohd Isa untuk bertanding pada pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang, Muhyiddin melahirkan rasa syukur kerana proses penamaan yang berlangsung hari ini berjalan dengan lancar.

Malah beliau turut menaruh keyakinan bahawa Mohd Isa akan dipilih oleh pengundi DUN Bagan Pinang sebagai wakil mereka.

"Kita semua menaruh keyakinan bahawa Tan Sri Isa adalah calon terbaik, calon paling popular, calon anak temoatan, calon berpengalaman dan banyak berjaasa.

"Kami amat yakin bahawa beliau akan terpilih menjadi wakil rakyat DUN Bagan Pinang dengan majorit yang lebih besar," katanya.

Katanya lagi pengundi di DUN Bagan Pinang sudah pasti mahukan seorang pemimpin yang benar-benar memahami masalah yang dihadapi dan menurutnya pemilihan Mohd Isa adalah satu keputusan yang tepat.

"Saya percaya ini adalah satu peluang yang harus digunakan oleh pengundi yang ada di DUN Bagan Pinang untuk memilih calon yang mmapu dan boleh melaksanakan tanggungjawab dan mengetahui masalah tempatan.

"Atas dasar itu saya yakin pengundi mahu usaha pembangunan yang dijalankan selama ini diteruskan dan dipertingkatkan lagi," katanya.

Artikel Lain