suria

H1N1: 170 pesakit baru dengan gejala ILI

KUALA LUMPUR: Seramai 170 pesakit baru dengan gejala penyakit serupa influenza (ILI) telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan manakala 198 kes didiscaj hari ini.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican jumlah semasa kes ILI yang masih dirawat di seluruh negara sehingga hari ini ialah 715 orang dengan 62 pesakit merupakan kes influenza A (H1N1) yang disahkan melalui ujian makmal.

"Daripada 62 pesakit influenza A (H1N1) yang menerima rawatan di hospital, sebanyak 17 kes atau 27 peratus sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU)," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata jumlah kematian setakat ini masih kekal 77 orang.

Kementerian Kesihatan mengingatkan orang ramai bahawa penularan wabak influenza A (H1N1) masih aktif dalam komuniti walaupun ia menunjukkan pengurangan kebelakangan ini.

"Dalam menyambut dan meraikan suasana Aidilfitri, banyak jamuan sempena rumah terbuka dan keramaian diadakan yang mana pastinya sangat sesak dengan orang ramai dan dikhuatiri akan memudahkan lagi penyebaran virus," katanya.

Dr Mohd Ismail mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mengambil langkah berjagajaga seperti yang digariskan kementerian itu di samping mengamalkan gaya hidup sihat, rehat dan tidur yang cukup, minum air secukupnya dan amalkan pemakanan sihat.

"Individu yang mempunyai simptom ILI dinasihatkan memakai topeng mulut dan hidung ketika berada di kawasan yang sesak dengan orang ramai," katanya. BERNAMA

Artikel Lain