suria

DUN Bagan Pinang: Isa guna strategi tangkis dan serang

PORT DICKSON: Calon Barisan Nasional (BN), Tan Sri Mohd Isa Samad berkata beliau akan menggunakan pendekatan menangkis dan menyerang kembali pihak lawan sebagai strategi kempennya berhadapan dengan PAS pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

Beliau berkata BN tidak boleh hanya berdiam diri jika PAS membangkitkan isu-isu semasa dengan menyalahkan pihak kerajaan agar kelemahan dalaman mereka dapat disembunyikan.

"Kita punya strategi ialah kita akan serang mereka juga, kita tak boleh bertahan sahaja kerana mereka juga banyak masalah...tapi mereka pandai berlakon seolah-olah mereka tidak ada masalah.

"Sebagai contoh kes terbaru yang melibatkan Datuk Hasan Ali, perbincangan mengenainya ditangguhkan sehingga selepas pilihan raya DUN Bagan Pinang...itu tunjukkan mereka tak berani buat keputusan," katanya dalam sidang media selepas proses penamaan calon berakhir hari ini.

Tegas beliau, pada hakikatnya Pakatan Rakyat juga mempunyai banyak masalah tetapi mereka berlakon seolah-olah seperti tiada masalah.

"Saya nasihatkan pengundi di Bagan Pinang supaya jangan terkeliru kerana pembangkang ni, yang cakapnya lain manakala perbuatannya lain," katanya.

Pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang menyaksikan saingan satu lawan satu antara BN dan PAS yang diwakili Pesuruhjaya negeri, Zulkefly Mohamad Omar.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong selepas penyandangnya Azman Mohammad Nor yang mewakili BN pada Pilihan Raya Umum Mac 2008 meninggal dunia akibat jangkitan dalam darah di Hospital Pakar Seremban (SSH), awal bulan lalu.

Allahyarham yang bertanding pertama kali, memenangi kerusi berkenaan dengan memperolehi 6,430 undi, menewaskan calon PAS, Ramli Ismail. Beliau menang dengan majoriti 2,333 undi.

Dalam pada itu mengulas mengenai kelayakannya untuk bertanding pada pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang, beliau melahirkan keyakinan bahawa pengundi di kawasan itu akan memilihnya sebagai wakil rakyat.

"Saya yakin mereka akan memilih saya sebagai wakil rakyat berdasarkan bahawa saya masih mampu menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dengan pengalaman yang saya ada," katanya.

Malah Mohd Isa juga berkata beliau mendapat sokongan padu Umno Negeri Sembilan.

Selain itu katanya, sokongan padu pengundi terhadap BN begitu baik sekali.

Bagaimanapun, menurut Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang itu, BN perlu berhati-hati bagi membetulkan kekeliruan yang akan diwujudkan oleh pihak pembangkang.

"Umpamanya ada parti pembangkang menyatakan saya calon kitar semula tapi saya nak sebut di sini bahawa penasihat Parti Keadilan...dia lagi kitar semula.

"Saya cuma tak bertanding tahun 2008 saja, yang dia tu tak bertanding dekat lebih enam tahun....kalau sampah, dah hancurlah sampah tu kalau dikitar semula.

"Tapi pembangkang memang begitu, asalkan dia semua betul, asalkan kita, jadi tak betul....sama ada kes mahkamah, sama ada kes BPR (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), apa pun kes kalau untung pada dia, itu baik, maknanya benda itu betul, tapi kalau menyebelahi pihak kerajaan, dia akan menganggap itu semua tak betul...tak teluslah, tak sama dan sebagainya," katanya.

Artikel Lain