suria

Suspek kes bunuh kontraktor ditahan

SANDAKAN: Polis hari ini berjaya menahan seorang lelaki warga asing yang disyaki terlibat dalam kes pembunuhan seorang kontraktor yang ditemui mati di dalam keretanya di Jalan Leila di sini, Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Rosli Mohd Isa berkata lelaki berusia 31 tahun itu ditahan di kawasan Bandar Leila di sini kira-kira pukul 11.30 pagi selepas operasi menjejakinya dijalankan sejak dua hari lepas.

Katanya lelaki warga Filipina itu yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Siasatan lanjut yang dijalankan itu termasuk mengenal pasti lokasi senjata tajam yang digunakan dalam pembunuhan itu yang tidak ditemui di tempat kejadian," katanya ketika ditemui selepas Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidil Fitri di kediamannya di sini hari ini.

Dalam kejadian Rabu lepas, kontraktor binaan dari Tawau itu mati dibunuh seorang lelaki yang menumpang keretanya di Jalan Leila berhampiran Bandar Nam Tung di sini.

Mangsa seorang lelaki berusia 51 tahun dikenali sebagai Hung Wai Tong mati akibat tikaman benda tajam di belakang badannya.

Rosli berkata siasatan polis mendapati kes pembunuhan itu bermotifkan cemburu selepas lelaki berkenaan mengetahui teman wanitanya menjalinkan hubungan dengan mangsa. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain