suria

Selepas bawa pulang pelajar, Malaysia tumpu salur bantuan

JAKARTA: Selepas selesai menyelaraskan gerakan membawa pulang 323 pelajar Malaysia yang menjadi mangsa gempa bumi berkekuatan 7.6 skala Richter di Padang, Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia kini menumpukan perhatian kepada usaha menyalurkan bantuan Malaysia ke kawasan bencana.

Timbalan Ketua Perwakilan di Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, Amran Mohamed Zain berkata beberapa pasukan bantuan bencana dari Malaysia seperti Smart dan Mercy Malaysia sudah siap sedia untuk diterbangkan ke Sumatera Barat.

"Namun, kita menerima nasihat daripada pihak berkuasa Indonesia supaya mereka sebaik-baiknya datang esok," katanya kepada Bernama di sini, Jumaat.

Dalam 24 jam ini, beliau berkata kedutaan berkoordinasi dengan Kuala Lumpur bagi menyediakan beberapa keperluan asas pasukanpasukan itu seperti penjana kuasa elektrik dan pegawai kedutaan yang berada di Padang sedang mengusahakannya.

Beliau berkata kedutaan juga akan menyelaraskan pelbagai bentuk bantuan lain dari Malaysia seperti bekalan makanan dan minuman, pakaian dan selimut serta ubat-ubatan untuk disalur kepada pihak berkuasa Indonesia di Padang.

Mengenai rakyat Malaysia yang pulang dengan empat pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia, yang tiba di Subang pada pukul 8.45 pagi ini, Amran berkata selain 323 pelajar, turut berada dalam penerbangan itu ialah sekumpulan rakyat Malaysia lain.

"Semuanya berjumlah 380 penumpang termasuk sebahagiannya pelancong rakyat Malaysia yang terkandas selepas gempa, yang sempat menghubungi atau dihubungi keluarga masing-masing dan mendapat maklumat mengenai penerbangan kemanusiaan itu," katanya.

Amran berkata pegawai kedutaan juga masih berada di Padang untuk mengumpulkan maklumat jika terdapat rakyat Malaysia yang belum dapat dikesan atau sedang dirawat di hospital.

Kelmarin, beliau berkata terdapat 15 nama rakyat Malaysia, yang dikatakan sedang berada di Padang ketika kejadian pada Rabu, yang masih dicari keluarga mereka yang menghubungi bilik gerakan 24 jam di kedutaan.

"Mungkin ada yang telah balik sendiri ke Malaysia dengan kapal terbang, kami tidak dapat memastikannya. Kami minta keluarga menghubungi semula kedutaan bagi memberi maklumat jika sudah menemui mereka," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain