suria

Saman fitnah Ong terhadap Tiong bagi kes pengurusan 4 Nov

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 4 Nov untuk kes pengurusan saman fitnah RM500 juta yang dikemukakan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat terhadap Anggota Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing.

Timbalan Pendaftar Fatimah Rubiah Ali menetapkan tarikh baru itu dalam kamar hari ini setelah memberikan masa kepada Ong untuk menjawab afidavit Tiong berkaitan permohonan injunksi interparte.

Ong diwakili peguam Ronnie Tan Tuan King sementara Prem Ramachandran bagi Tiong.

Pada 28 Ogos lepas, Presiden MCA itu memfailkan saman tersebut berkaitan kenyataan fitnah yang dikeluarkan Tiong, pengarah eksekutif Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB), mengenai beliau memberikan Ong RM10 juta.

Kenyataan itu disiarkan dalam laman web Malaysiakini pada 12 Ogos.

Dalam kenyataan tuntutan beliau, Ong berkata kenyataan tersebut tidak benar dan beliau mahu Tiong menarik balik dan menyiarkan permohonan maaf kepada Ong dalam semua akhbar utama.

Beliau juga meminta ganti rugi teladan yang teruk dan satu injunksi untuk menahan Tiong atau ejen beliau daripada terus mengeluarkan sebarang kenyataan fitnah terhadapnya berkaitan isu berkenaan.

Ong mendakwa bahawa kenyataan itu dibuat dengan niat tidak baik dan jahat bagi menghalang siasatan yang adil dan betul terhadap penyalahgunaan dana Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) dan peranan Kuala Dimensi dalam perkara ini.

Kuala Dimensi ialah kontraktor siap guna untuk projek PKFZ yang menjadi perkara siasatan yang dijalankan Jawatankasa Kira-kira Awam.

Ong berkata kenyataan itu telah mencemarkan reputasi, imej, integriti dan nama baik beliau di mata orang ramai.

Beliau menyatakan dalam sepucuk surat bertarikh 13 Ogos, meminta Tiong, pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) menarik balik kenyataan tersebut dan meminta maaf tetapi sehingga hari ini Tiong enggan berbuat demikian. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain