suria

Putrajaya hantar pesawat TUDM bawa balik 300 pelajar Malaysia dari Padang

PUTRAJAYA: Ini adalah perkembangan terbaru. Sehingga berita ini ditulis pada jam 11 malam Khamis, hanya sebuah pesawat TUDM sahaja yang berjaya berlepas ke Lapangan Terbang Minangkabau di Padang untuk tujuan menghantar bekalan bantuan kepada mangsa-mangsa gempa bumi di sana.

Para pegawai daripada Bahagian Hal Ehwal Pelajar Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang sepatutnya berlepas ke Padang, bersama dua lagi pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada jam 9.10 malam dan 9,40 malam Khamis untuk membawa pulang 300 penuntut Malaysia masih tidak dibenarkan berlepas dari Subang kerana kesesakan di Lapangan Terbang Minangkabau.

Kedua-dua pesawat TUDM Charlie 130H ini juga turut membawa para wartawan Malaysia yang akan membuat liputan misi khas membawa pulang para pelajar Malaysia.

Pihak Kementerian telahpun menyediakan asrama sementara di Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang bagi menempatkan pelajar Malaysia sekiranya pesawat yang membawa mereka pulang, tiba lewat.

Sementara itu, wartawan mStar Online yang berada dilokasi memaklumkan pesawat kedua yang masih menunggu isyarat lampu hijau dari Padang paling awal pun mungkin akan hanya dapat berlepas pada jam 12.45 tengah malam ini.

Manakala pesawat ketiga yang juga masih menunggu isyarat untuk berlepas belum dimaklumkan mengenai jadual perlepasan mereka sehingga berita ini ditulis.

Sementara itu laporan awal mStar memetik Pegawai Khas kepada Menteri Pengajian Tinggi, Mohd Arif Adenan sebagai berkata bahawa rombongan kementerian diketuai oleh Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar KPT, Profesor Dr Mohd Fauzi Ramlan bersama Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) Indonesia, Dr Junaidy Abu Bakar dan dua lagi pegawai dari Bahagian Hal Ehwal Pelajar.

Mohd Arif berkata, pelajar-pelajar Malaysia yang terkandas di Padang ada di antaranya sudah dua hari tidak menjamah makanan yang sempurna.

Mereka juga katanya, mengalami kesukaran untuk mendapatkan bekalan air bersih.

Atas sebab itulah juga kata Arif, rombongan kementerian turut membawa bersama bekalan makanan dan air bersih.

Rombongan pihak kementerian juga katanya turut membawa kelengkapan khemah serta selimut memandangkan masih terdapat 30 orang lagi pelajar Malaysia yang tidak dapat dibawa pulang malam ini kerana beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan.

Mohd Arif berkata, Padang pada ketika ini masih dilanda hujan lebat dan keadaan di sana agak teruk.

Kepada soalan sama ada terdapat pelajar Malaysia yang benar-benar tercedera akibat kejadian semalam, Mohd Arif mengesahkan setakat ini dua pelajar kita - seorang lelaki dan seorang perempuan mengalami cedera ringan.

Seorang masih dirawat di salah sebuah hospital di sana.

“Tetapi yang menjadi kebimbangan kita ialah trauma yang dihadapi oleh para pelajar kita dan juga keadaan para pelajar kita yang lain kerana laporan menyebut bangunan universiti di mana mereka belajar mengalami kerosakan teruk,” kata Mohd Arif.

Sementara itu laporan awal menyebut pihak kedutaan Malaysia di Jakarta memang telah bersedia untuk menguruskan perpindahan kesemua 330 orang penuntut Malaysia di Padang ke tanah air sehingga keadaan selepas gempa bumi yang berukuran 7.6 pada skala Richter di ibu kota Sumatera Barat itu pulih.

Agensi Berita Nasional (Bernama) memetik Timbalan Ketua Perwakilan di Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, Amran Mohamed Zain sebagai berkata, kemungkinannya ialah dengan membawa mereka pulang menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia sebaik Lapangan Terbang Minangkabau, Padang dibuka semula.

"Membawa mereka pulang merupakan pilihan terbaik kerana jika tetap di Padang pun, mereka tidak akan merasa nyaman dalam keadaan serba kekurangan buat masa ini. Apatah lagi semua kuliah juga sudah dibatalkan," katanya ketika dihubungi Bernama pagi Khamis.

Tambah beliau lagi, Kedutaan Besar telah menghantar para pegawai Pejabat Konsul Malaysia di Medan dan Pekan Baru untuk ke Padang dan membuat penilaian keadaan tempat tinggal, bantuan pakaian dan bekalan makanan yang diperlukan bagi para penuntut Malaysia.

"Jika pasukan penilai ini mencadangkan supaya kita memindahkan para pelajar kita, kita akan selaraskan pergerakan dan jadual dengan Wisma Putra," katanya.

Sementara itu, sebuah bilik gerakan dibuka di Konsul Malaysia di Medan sejak petang semalam untuk menyelaraskan maklumat mengenai para penuntut di Padang dan melayani pertanyaan para ibu bapa melalui talian 006-26145531342.

Kebanyakan penuntut Malaysia itu sedang belajar dalam bidang kedoktoran di Universiti Andalas, yang dilaporkan rosak teruk di semua bangunannya termasuklah bangunan Fakulti Perubatan, yang dilaporkan runtuh.

Sehingga malam tadi, mereka berada dalam keadaan selamat walaupun, menurut Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia Dr Junaidi Abu Bakar.

"Pada waktu ini mereka berkumpul dalam keadaan basah ditimpa hujan, tanpa makanan dan minuman."

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain