suria

Proses penamaan calon dijangka 'panas' dan meriah

PORT DICKSON: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang esok bakal menjadi 'panas' dan meriah.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menjangkakan perkara tersebut berdasarkan faktor hari penamaan calon kali ini diadakan pada hari Sabtu yang memudahkan kehadiran ramai penyokong parti-parti yang bertanding.

"Biasanya memang 'panas', tempat ini ramai orang boleh datang, hari cuti pula... ada yang datang berkelah dan sambil itu tengok proses penamaan calon.

"Panas tetap panas kerana pilihan raya di negara ini demokratik," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Bagaimanapun jelas beliau, pihaknya tidak bercadang untuk menghadkan jumlah kehadiran penyokong bagi setiap parti namun menasihatkan agar semua pihak mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh SPR dan pihak berkuasa.

"Bila kehadiran penyokong ramai, ikutlah arahan SPR dan juga pihak polis. Kalau semua ikut arahan, insyaAllah keadaan akan selamat dan keadaan trafik juga akan terkawal," katanya.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong selepas penyandangnya Azman Mohammad Nor yang mewakili BN pada Pilihan Raya Umum Mac 2008 meninggal dunia akibat jangkitan dalam darah di Hospital Pakar Seremban (SSH), awal bulan lalu.

Allahyarham yang bertanding pertama kali, memenangi kerusi berkenaan dengan memperolehi 6,430 undi, menewaskan calon PAS, Ramli Ismail. Beliau menang dengan majoriti 2,333 undi.

SPR menetapkan esok sebagai hari penamaan calon dan jika ada pertandingan, hari pengundian telah ditetapkan pada 11 Oktober depan.

Jelas Abdul Aziz lagi, bagi proses penamaan calon esok, setiap parti politik dibenarkan membawa 100 orang penyokong masing-masing ke tempat penamaan calon yang akan diadakan di dewan Majlis Perbandaran Port Dickson.

"Barisan Nasional (BN) dan PAS masing-masing dah nyatakan hasrat untuk bertanding, jadi kita sudah sediakan ruang untuk kedua-dua parti berkenaan membawa penyokong mereka.

"BN kita benarkan bawa 100 orang, dan PAS juga boleh bawa 100 orang... malah jika ada calon bebas mereka juga boleh bawa penyokong kerana ruang untuk mereka juga ada," katanya.

Abdul Aziz juga mengingatkan kepada pemimpin parti-parti politik yang bertanding supaya memastikan penyokong mereka mengawal perasaan agar tidak mencetuskan sebarang pergaduhan ataupun menimbulkan perasaan marah penyokong parti lain.

"Kepada pemimpin parti saya harap pantaulah penyokong masing-masing, pastikan tidak ada yang membawa alat pembesar suara dan bercakap di khalayak ramai.

"Tambahan lagi jika kata-kata yang dikeluarkan itu boleh menimbulkan perbalahan... saya tak mahu jadi seperti pilihan raya kecil Permatang Pasir.

"Kerana menggunakan alat pembesar suara inilah kekecohan boleh tercetus, kalau nak bercakap juga pastikan tidak menggunakan pembesar suara," katanya.

Ditanya sama ada SPR atau pihak polis akan mengambil sebarang tindakan kepada mana-mana pihak yang melanggar arahan yang telah dikeluarkan, Abdul Aziz berkata pihak berkuasa mahu mengelak daripada menggunakan kekerasan dalam soal ini.

"Kita kalau boleh tak mahu gunakan kekerasan, tambahan pula mengikut pengalaman pada pilihan raya kecil sebelum ini, orang yang bercakap menggunakan pembesar suara berada di tengah-tengah kumpulan mereka.

"Perkara ini menyukarkan kita, tapi saya amat berharap agar semua pihak memberikan kerjasama yang baik," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain