suria

Penuntut perubatan cedera dalam gempa di Padang kini stabil

KUALA LUMPUR: Penuntut jurusan perubatan Felicia Francesca A/P Francis Dass yang dibawa pulang dengan pesawat Tentera Udara Di Raja Malaysia (TUDM) dari Padang, Indonesia pagi tadi, kini berada dalam keadaan stabil di Wad Kecemasan, Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Felicia Francesca, 23, dari Pulau Pinang cedera di beberapa bahagian badannya, kata Ketua Jabatan Kecemasan Dan Trauma dan Pakar Runding Kanan Traumatologi HKL, Prof Datuk Dr Abu Hassan Asaari Abdullah.

Beliau berkata, Felicia Francesca di hempap besi yang runtuh dari siling rumahnya, cedera di kepala dan menerima tujuh jahitan. Selain itu, beliau juga cedera di tengkok, tulang belakang ketujuhnya sebelah kiri dan tulang lumbarnya.

"Dengan rawatan yang cepat yang diberikan kepada Felicia Francesca semasa di Padang oleh kita, dia sekarang berada dalam keadaan stabil," katanya kepada pemberita di HKL di sini hari ini.

Selain itu, HKL turut mengambil CAT Scan (CT) ke atas Felicia Francesca bagi memastikan beliau selamat dan tiada komplikasi atau pendarahan dalaman.

"Alhamdulillah beliau kini dalam keadaan baik dan menerima rawatan sepenuhnya. Tidak ada kemudaratan kecederaan dalaman atau pendarahan. Beliau kini tidak menunjukkan sebarang impak atau kesan terhadap fungsi neurologi atau manamana bentuk kecederaan pada tulang belakang, satu petanda yang sangat baik," tambahnya.

Kemungkinan besar Felicia Francesca sedang berdiri ataupun duduk ketika gempa bumi berlaku kerana menurut Dr Abu Hassan jika penuntut itu sedang baring, hanya bahagian dadanya yang akan cedera.

Mengenai jangka masa untuk Felicia Francesca sembuh, beliau berkata ia dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya tiga hingga enam minggu.

"Kita juga membuat pemerhatian rapi terhadap Felicia Francesca untuk pastikan sama ada kita perlu membuat pembedahan tulang belakangnya atau tidak. Bagaimanapun setakat ini, semuanya nampak OK," katanya.

Selain itu, Dr Abu Hassan juga berkata pegawai perubatan HKL kini dalam keadaan siap sedia untuk membantu Felicia Francesca sekiranya beliau mengalami apaapa trauma.

"Kita cuba menjalankan pengurusan psiokologi trauma. Sebab kemungkinan besar rakyat Malaysia tidak pernah mengalami trauma seperti ini jadi, kita mesti bersiap sedia sepenuhnya untuk membantu beliau dengan itu," kata beliau.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T. Murugiah yang melawat Felicia Francesca mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan yang amat mengambil berat terhadap kebajikan dan keselamatan penuntut negara ini dengan membawa mereka pulang secepat mungkin. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain