suria

Pelajar Malaysia Tak Makan Dengan Sempurna Sejak 2 Hari Lalu Akibat Gempa

PETALING JAYA: Usaha untuk membawa pulang segera 300 pelajar Malaysia yang terkandas di Padang, Barat Sumatera perlu disegerakan kerana sebahagian besar daripada mereka tidak menjamah makanan yang sempurna sejak tiga hari lalu.

Menurut Pegawai Khas Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Mohd Arif Adenan, kebanyakan pelajar Malaysia telah terputus bekalan makanan dan air bersih sejak hari pertama gempa bumi melanda ibu negeri Provinsi Sumatera Barat itu.

Gempa bumi tersebut telah meragut nyawa 529 mangsa menurut angka rasmi sehingga jam 5 petang Khamis.

“Sebab itulah pihak kementerian telah memutuskan untuk menghantar bekalan makanan dan minuman air besih bersama-sama pasukan evakuasi ini walaupun para pelajar kita akan dibawa balik malam ini (Khamis) juga,” kata Arif.

Menurut Arif, daripada maklumat yang dikumpulkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Kementerian Pengajian Tinggi, keadaan di Padang agak kritikal termasuklah sebahagian besar bangunan Fakulti Perubatan Universiti Andalas di mana kebanyakan pelajar Malaysia menuntut mengalami kerosakan teruk.

Beliau juga mengesahkan masih terdapat lebih kurang 30 lagi pelajar Malaysia yang tidak dapat dibawa pulang ke tanah air kerana beberapa sebab antaranya mereka berada di luar Padang dan tidak dapat memasuki bandar berkenaan untuk urusan evakuasi.

Kata Arif ada juga di antaranya yang sedang menjalani latihan praktikal yang memerlukan khidmat tenaga mereka di sana.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain