suria

Koroner benarkan pakar psikiatri temu bual ahli keluarga

SHAH ALAM: Koroner Azmil Muntapha Abas yang mengendalikan inkues kematian Teoh Beng Hock hari ini membenarkan anggota keluarga serta beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditemu bual oleh dua pakar psikiatri bagi menentukan tahap mental setiausaha politik itu.

Azmil berkata temu bual itu akan dapat membantu siasatan apabila pakar perunding forensik psikiatri Hospital Permai Johor, Dr Bada'iah Yahya dan pakar perunding psikiatri Kementerian Kesihatan Dr Nor Hayati Ali selesai membuat laporan mengenainya.

Isu mengenai penglibatan dua pakar psikiatri ini menimbulkan ketegangan sejak beberapa hari lalu apabila peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga Teoh dan peguam mewakili Kerajaan Selangor Malik Imtiaz Sarwar mempersoalkan sama ada temu bual itu relevan dengan inkues tersebut.

Bagaimanapun, peguam Tan Hock Chuan yang mewakili kerajaan menegaskan bahawa temu bual itu hanya akan melibatkan soalan mengenai latar belakang Teoh.

Dalam prosiding hari ini, Tan telah menyerahkan beberapa soalan yang akan ditanya oleh dua pakar psikiatri itu kepada kesemua pihak.

Sepertimana pada prosiding lepas, Gobind tetap mempertikaikan penglibatan pakar itu dan katanya: "Kami tidak tahu siapa yang telah ditemu bual. Kami tidak tahu apa yang telah mereka katakan. Temu bual itu juga tidak dibuat secara bersumpah. Kami tidak boleh mengujinya."

Malik Imtiaz pula mempersoalkan sejauhmana temuduga dan laporan dari pakar psikiatri itu akan membantu siasatan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Abazafree Mohd Abbas yang turut membantu inkues itu memberitahu bahawa soalan yang akan dikemukakan hanya berkaitan latar belakang Teoh dan bagi pegawai SPRM, kedua-dua pakar psikiatri itu boleh berpandukan kepada keterangan yang telah diberitahu di mahkamah sebelum ini.

Katanya, yang perlu ditemu bual adalah anggota keluarga dan beberapa orang yang rapat dengannya sebelum ini termasuk Ean Yong Hian Wah.

Peguam yang mewakili SPRM Datuk Abdul Razak Musa bersetuju dengan Mohamad Abazafree dan menurutnya jika ingin mendapatkan maklumat yang telus sepertimana dipohon kesemua peguam sebelum ini, laporan pakar psikiatri itu adalah penting.

Katanya keadaan waktu kecil Teoh hingga dewasa hanya boleh diketahui melalui anggota keluarganya dan sekiranya soalan sebegitu tidak dapat ditanya, maklumat mengenai tahap mentalnya gagal diketahui.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai lalu di tingkat lima Plaza Masalam di sini, selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan dakwaan salahguna wang.

Azmil menetapkan 14 Okt ini untuk menyambung prosiding itu dan beliau sempat mengingatkan semua pihak supaya lebih fokus kepada inkues kematian Teoh sahaja dan tidak menimbulkan perkara lain.

Pada tarikh itu, Timbalan Pengarah SPRM Hishamuddin Hashim dan ketua pegawai siasatan SPRM Khairul Ilham Hamzah akan dipanggil memberi keterangan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain