suria

Kaca kalis peluru selamatkan kedai emas daripada dirompak

KUALA LUMPUR: Tindakan pemilik sebuah kedai emas di Taman Greenwood, Gombak yang memasang kaca kalis peluru pada ruang pameran barang kemas miliknya menggagalkan cubaan empat lelaki untuk merompak kedai itu.

Kejadian pukul 1.35 tengah hari itu berlaku ketika kedai emas itu didatangi empat lelaki tempatan yang menaiki dua buah motosikal.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor ACP Khaw Kok Chin berkata keempatempat suspek itu berhenti di depan kedai emas berkenaan dan dua daripada mereka yang masingmasing bersenjatakan parang meluru masuk sebelum cuba memecahkan kaca pamerannya.

"Oleh kerana tidak berhasil memecahkan kaca tersebut dengan menggunakan parang, salah seorang suspek yang menunggu di luar kedai meluru masuk dan menembak kaca pameran berkenaan.

"Apabila tembakan pertama gagal memecahkan kaca pameran itu suspek menembak buat kali kedua tetapi kaca pameran hanya retak dan terserpih dan mereka terpaksa melarikan diri dengan tangan kosong," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Khaw berkata semasa kejadian terdapat tiga pekerja wanita di kedai itu bagaimanapun mereka tidak dicederakan.

"Kita percaya tangan seorang daripada suspek luka terkena serpihan kaca kerana terdapat kesan darah di atas kaca pameran itu," katanya.

Keempatempat suspek memakai topi keledar tutup penuh dan memakai jaket kulit. DNA daripada titisan darah suspek akan dihantar untuk dianalisis.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222 atau balai polis berdekatan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain