suria

Gempa Padang: 128 pelajar Malaysia dijangka tiba 4 pagi ini

SUBANG: Kumpulan pertama pelajar Malaysia yang terlibat dengan gempa bumi di Padang dijangka tiba pada pukul 4 pagi ini di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia Subang di sini (TUDM).

Seramai 128 pelajar akan pulang dengan menaiki pesawat tersebut manakala bakinya akan menaiki pesawat kedua dan ketiga.

Pesawat Charlie 130 H TUDM yang akan membawa pulang pelajar Malaysia itu telah berlepas daripada pangkalan TUDM pada pukul 12 tengah malam tadi.

Pesawat pertama yang berlepas itu turut membawa 26 orang termasuk 11 wakil media. Sementara itu, jurucakap TUDM berkata kumpulan pertama yang akan tiba nanti terdiri daripada pelajar yang mengalami cedera ringan ketika kejadian gempa bumi di Padang, kelmarin.

"Pihak kami (TUDM) telah menyediakan makanan dan pasukan perubatan untuk memberi bantuan kepada pelajar-pelajar tersebut sebaik mereka tiba nanti.

"Selepas semua prosedur ini selesai, ibu bapa yang hadir, boleh membawa pulang anak masing-masing, namun kita minta ahli keluarga mendaftarkan nama anak masing-masing sebelum pulang.

"Bagi ahli keluarga yang tiada di sini, kita akan bawa mereka (pelajar) ke asrama penginapan di Universiti Putra Malaysia (UPM) yang telah disediakan oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)," katanya dalam sesi penerangan kepada ibu bapa yang hadir menantikan kepulangan anak masing-masing.

Difahamkan, pesawat kedua sudah pun berlepas pada pukul 12.30 tengah malam manakala pesawat terakhir baru sahaja pada pukul 1 pagi tadi.

Ketiga-tiga pesawat TUDM itu sepatutnya berlepas pada pukul 9.10 malam dan 9.40 malam Khamis untuk membawa pulang 300 penuntut Malaysia masih tidak dibenarkan berlepas dari Subang kerana kesesakan teruk di Lapangan Terbang Minangkabau.

"Keadaan lapangan terbang yang terjejas akibat gempa bumi sedikit sebanyak melambatkan pasukan penyelamat kita untuk berlepas ke sana. Insya-Allah kita minta pihak keluarga bersabar dan berdoa agar semuanya berjalan lancar," katanya.

Tinjaun mStar Online di perkarangan masjd pangkalan TUDM Subang mendapati kira-kira 100 ahli keluarga tiba seawal pukul 8 malam untuk menantikan kepulangan anak masing-masing.

Turut kelihatan lapan buah bas yang disediakan oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi bagi membawa pulang pelajar-pelajar Malaysia dari Padang ke asrama di UPM Serdang.

Sementara itu laporan awal mStar memetik Pegawai Khas kepada Menteri Pengajian Tinggi, Mohd Arif Adenan sebagai berkata bahawa rombongan kementerian diketuai oleh Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar KPT, Profesor Dr Mohd Fauzi Ramlan bersama Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) Indonesia, Dr Junaidy Abu Bakar dan dua lagi pegawai dari Bahagian Hal Ehwal Pelajar.

Mohd Arif berkata, pelajar-pelajar Malaysia yang terkandas di Padang ada di antaranya sudah dua hari tidak menjamah makanan yang sempurna.

Mereka juga katanya, mengalami kesukaran untuk mendapatkan bekalan air bersih.

Atas sebab itulah juga kata Arif, rombongan kementerian turut membawa bersama bekalan makanan dan air bersih.

Rombongan pihak kementerian juga katanya turut membawa kelengkapan khemah serta selimut memandangkan masih terdapat 30 orang lagi pelajar Malaysia yang tidak dapat dibawa pulang malam ini (Khamis) kerana beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan.

Mohd Arif berkata, Padang pada ketika ini masih dilanda hujan lebat dan keadaan di sana agak teruk.

Kepada soalan sama ada terdapat pelajar Malaysia yang benar-benar tercedera akibat kejadian semalam, Mohd Arif mengesahkan setakat ini dua pelajar kita - seorang lelaki dan seorang perempuan mengalami cedera ringan.

Seorang masih dirawat di salah sebuah hospital di sana.

“Tetapi yang menjadi kebimbangan kita ialah trauma yang dihadapi oleh para pelajar kita dan juga keadaan para pelajar kita yang lain kerana laporan menyebut bangunan universiti di mana mereka belajar mengalami kerosakan teruk,” kata Mohd Arif.

Sementara itu laporan awal menyebut pihak kedutaan Malaysia di Jakarta memang telah bersedia untuk menguruskan perpindahan kesemua 330 orang penuntut Malaysia di Padang ke tanah air sehingga keadaan selepas gempa bumi yang berukuran 7.6 pada skala Richter di ibu kota Sumatera Barat itu pulih.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain