suria

DNA misteri di blazer & tali pinggang Teoh milik lelaki mangsa kemalangan

SHAH ALAM: DNA atau asid deoksiribonukleik lelaki misteri yang dijumpai pada blazer dan tali pinggang Teoh Beng Hock sebenarnya milik seorang lelaki yang meninggal dunia dan dibedah pada hari yang sama dengan Teoh di bilik bedah Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang pada 17 Julai lepas.

Ahli Kimia Forensik Dr Seah Lay Hong memberitahu Mahkamah Koroner bahawa DNA itu, iaitu unsur dasar gen, mempunyai padanan sehingga 99.9 peratus dengan M. Gopala yang terbunuh dalam kemalangan motosikal.

Dr Seah berkata berdasarkan hasil siasatan kali ketiga itu, beliau mempercayai bahawa DNA itu diperoleh berikutan penggunaan meja bedah siasat yang sama dan ia tidak dicuci menggunakan 'sterillizer' (alat pembasmi kuman).

Pada 17 Julai mayat Teoh telah dibedah oleh pakar patologi Dr Khairul Azman Ibrahim di Hospital Tengku Ampuan Rahimah selepas Dr K. Saravanan, 39, doktor perubatan, selesai melakukan bedah siasat ke atas dua lelaki iaitu L. Jeganathan dan Gopala.

Dr Seah berkata DNA Jeganathan bagaimanapun tidak mempunyai persamaan dengan DNA yang dijumpai pada blazer dan tali pinggang itu.

Bagaimanapun penemuan pemilik DNA itu masih belum lengkap sebenarnya kerana masih terdapat satu lagi DNA lelaki misteri pada bahagian tali pinggang Teoh dan Dr Seah menamakannya sebagai lelaki yang tidak dikenali.

Apabila ditanya peguam Gobind Singh Deo, yang mewakili keluarga Teoh mengenai perkara itu (lelaki tidak dikenali), Dr Seah berkata tiada DNA yang berpadanan dengannya dan ia masih tidak diketahui pemiliknya.

Dalam siasatan kedua sebelum ini, Dr Seah telah menganalisis profil DNA bagi 157 individu untuk perbandingan, dan mereka terdiri daripada 14 pegawai dari Jabatan Patologi Forensik di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, Pusat Perubatan Universiti Malaya dan Hospital Kuala Lumpur, 49 pegawai polis, 81 pegawai Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), dua tukang cuci, lapan kakitangan penyelenggaraan dan keselamatan dan tiga saksi individu. Sementara siasatan pertama Dr Seah melibatkan 102 orang.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada anggota Exco Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai lalu di koridor tingkat lima Bangunan Plaza Masalam, Shah Alam, kirakira 10 jam selepas memberi keterangan kepada SPRM dalam siasatan salah guna wang oleh Exco negeri.

Dr Sarananan yang turut dipanggil memberi keterangan memberitahu bahawa beliau melakukan bedah siasat ke atas Gopala pada pukul 8.30 pagi dan Jeganathan pada pukul 10 pagi, pada 17 Julai lalu, dan kedua-dua mereka merupakan mangsa kemalangan.

Sementara mayat Teoh pula dibedah pada pukul 12 tengah hari dan pada masa itu beliau turut sama berada di situ bagi mengambil gambar bedah siasat tersebut.

Ditanya oleh Gobind apakah yang menjadi amalan dalam membersih meja bedah (meja autopsi), Saravanan berkata bagi mayat yang meninggal dunia secara normal ia hanya dibersihkan menggunakan air biasa tetapi bagi mayat yang mempunyai penyakit seperti HIV dan tibi, meja itu akan dibersih menggunakan pembasmi kuman setiap kali selepas pembedahan oleh atendan hospital.

Saravanan bersetuju dengan cadangan Koroner Azmil Muntapha Abas bahawa meja autopsi yang tidak dicuci dengan pembasmi kuman boleh meninggalkan sisa DNA di atasnya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain