suria

Polis tahan 26 ah long beri pinjaman lebih RM15 juta

PULAU PINANG: Polis menahan 26 lelaki dipercayai ceti haram atau ah long yang telah memberi pinjaman lebih RM15 juta kepada pelanggannya di Pulau Pinang sejak Julai lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakob berkata kesemua mereka berusia antara 20 dan 50 tahun itu ditahan dalam 20 serbuan di sekitar negeri ini.

"Kesemua mereka ditahan hasil maklumat awam dan risikan pihak polis serta operasi berterusan pasukan khas yang ditubuhkan bagi memerangi kegiatan pemberian pinjaman haram di negeri ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata jumlah peminjam dikesan berhutang dengan ah long yang ditahan itu ialah 1,700 orang dan majoriti mereka terdiri daripada pekerja kilang serta golongan berpendapatan rendah.

"Siasatan mendapati golongan berkenaan meminjam wang daripada ah long ekoran gagal mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan," katanya, dan menambah kata bahawa dengan penahanan itu polis berjaya menyelesaikan 14 kes ah long.

Ayub berkata dalam operasi berterusan itu polis merampas pelbagai barangan antaranya enam komputer riba, pengimbas data (empat), buku akaun (15), kad pengeluaran wang automatik (91), telefon bimbit (79), barang kemas (52) dianggarkan bernilai lebih RM15,000 dan dua salinan geran tanah milik peminjam.

"Kita turut merampas wang tunai sebanyak RM28,000 dan lima keping cek tunai bernilai RM10,500," katanya.

Katanya kesemua mereka yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, pesalah boleh didenda RM50,000 atau dua tahun penjara bagi kesalahan pertama, manakala denda sehingga RM200,000 untuk kesalahan berulang.

Beliau berkata pihaknya telah mengenal pasti beberapa kumpulan dan individu lain yang dipercayai terlibat dengan kegiatan ah long itu.

"Kita akan buru kumpulan ah long di negeri ini secara besar-besaran bagi memerangi dan membanteras mereka habis-habisan," katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Bekas Senator meninggal dunia

Artikel Lain