suria

Penuntut bimbang nasib keluarga di Padang

KUALA LUMPUR: "Kami cemas dan bimbang dengan keadaan keluarga di Padang kerana sehingga kini mereka langsung tidak dapat dihubungi," itulah keluhan beberapa penuntut Indonesia dari bandar itu, yang kini mengikuti pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi, mengenai nasib keluarga masingmasing setelah gempa bumi melanda Sumatera Barat petang semalam.

Selain gagal menghubungi anggota keluarga, mereka juga tidak dapat berhubung dengan saudara terdekat dan teman rapat untuk mengetahui perkembangan terkini tentang keluarga dan keadaan di Padang.

Midawati, 44, dari Kota Padang, berkata beliau berlepas dari Lapangan Terbang Internasional Minangkabau di Padang pada kirakira 3 petang semalam untuk kembali menyambung pengajian di UKM selepas bercuti Aidilfitri.

"Ketika itu, tidak ada tanda-tanda akan berlaku gempa di sana...tetapi saya terkejut apabila dimaklumkan teman serumah bahawa kejadian gempa bumi berlaku di Padang selepas tiba di rumah sewa di Kajang," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Midawati, yang mengikuti ijazah doktor falsafah Geografi Gender di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, berkata beliau juga dimaklumkan bahawa bekalan elektrik, air dan telekomunikasi terputus terus di sana setelah berlakunya gempa bumi itu.

Akibatnya, beliau tidak pasti dengan keadaan keluarganya di Kuala Nyiur, iaitu kawasan penempatan di tepian pantai, berdekatan dengan bandar Padang.

Gempa bumi dengan magnitud 7.6 yang melanda Sumatera Barat sekitar 5.16 petang waktu Indonesia Barat semalam mengakibatkan beberapa bangunan utama di Padang mengalami kerosakan teruk, seperti Rumah Sakit Umum Pusat M Jamil Padang, Rumah Sakit Selasih dan Hotel Rocky.

Menurut laporan, Kota Padang juga diselubungi kegelapan malam tadi berikutan terputusnya bekalan elektrik selain hujan lebat yang memeritkan lagi keadaan penduduk yang masih terkejut dengan kejadian gempa bumi itu.

Sementara itu, Syahrriramadona, 25, berkata beliau berasa amat bimbang kerana langsung tidak dapat menghubungi keluarga dan terpaksa bergantung kepada laporan yang disiarkan portal berita dalam talian.

"Saya berasa amat bimbang dan cemas kerana langsung tidak dapat berhubung dengan sesiapa pun di Padang," katanya.

Penuntut ijazah sarjana Pendidikan Islam di Fakulti Pengajian Islam UKM itu bagaimanapun berharap mereka selamat kerana kediaman keluarganya terletak di Paya Kumbuh, iaitu kira-kira 3 jam perjalanan dari Kota Padang.

Selain itu, beliau juga bimbangkan tentang nasib adik lelakinya yang mengikuti pengajian di Universitas Negeri Padang yang terletak di kawasan bandar Padang.

Sri Nengsih, 24, dari daerah Pesisir Selatan, Padang juga berkongsi perasaan serupa kerana masih gagal menghubungi keluarganya.

Penuntut ijazah sarjana sains Teknologi Nano Institut Kejuruteraan Mikro dan Elektrik Nano UKM berkata selain ibu bapa, beliau juga bimbangkan keadaan anggota keluarga yang lain.

"Teman sekuliah memberitahu bahawa semua saluran komunikasi terputus.. justeru sukar untuk menghubungi keluarga. Tetapi, saya akan terus cuba menghubungi keluarga," katanya.

Diah Febrina, 27, pula sedikit lega apabila menerima khabar mengenai keluarganya menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) dari kakaknya, Yudian Fermina, 30, setengah jam selepas kejadian itu dan lewat malam tadi.

Menurutnya dua SMS itu memaklumkan bahawa semua anggotanya selamat tetapi kediaman mereka di tepi pantai di daerah Air Tawar retak teruk dan tidak boleh dihuni.

Selain itu, anggota keluarganya termasuk ibu dan bapanya turut diarah mendapat penempatan sementara di kawasan bukit di daerah Limau Manis, kira-kira 50km dari kediaman asal mereka.

Penuntut sarjana Pengurusan Komunikasi Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan itu berkata kakaknya juga memaklumkan bahawa banyak bangunan runtuh dan rosak teruk selain bandar Padang gelap gelita.

Beliau bagaimanapun amat berharap dapat menghubungi keluarganya secepat mungkin untuk mengetahui perkembangan diri mereka. BERNAMA

Artikel Berikut

Bekas Senator meninggal dunia

Artikel Lain