suria

KL timbang pindah semua 330 penuntut Malaysia di Padang

JAKARTA: Kuala Lumpur mempertimbang secara serius kemungkinan memindahkan semua 330 penuntut Malaysia di Padang ke tanah air sehingga keadaan selepas gempa bumi yang berukuran 7.6 pada skala Richter di ibu kota Sumatera Barat itu pulih.

Timbalan Ketua Perwakilan di Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, Amran Mohamed Zain berkata kemungkinannya ialah dengan membawa mereka pulang menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia sebaik Lapangan Terbang Minangkabau, Padang dibuka semula.

"Membawa mereka pulang merupakan pilihan terbaik kerana jika tetap di Padang pun, mereka tidak akan merasa nyaman dalam keadaan serba kekurangan. Apatah lagi semua kuliah juga sudah dibatalkan," katanya kepada BERNAMA di sini hari ini.

Katanya, kedutaan besar telah menghantar para pegawai Pejabat Konsul Malaysia di Medan dan Pekan Baru untuk ke Padang dan membuat penilaian keadaan tempat tinggal, bantuan pakaian dan bekalan makanan bagi para penuntut itu.

"Jika pasukan penilai ini mencadangkan supaya kita memindahkan para pelajar kita, kita akan selaraskan pergerakan dan jadual dengan Wisma Putra," katanya.

Sementara itu, sebuah bilik gerakan dibuka di Konsul Malaysia di Medan sejak petang semalam untuk menyelaraskan maklumat mengenai para penuntut di Padang dan melayani pertanyaan para ibu bapa melalui talian 006-26145531342.

Kebanyakan penuntut Malaysia itu sedang belajar dalam bidang kedoktoran di Universiti Andalas, yang dilaporkan rosak teruk di semua bangunannya termasuk bangunan Fakulti Kedoktorannya, runtuh.

Sehingga malam tadi, mereka berada dalam keadaan selamat walaupun, menurut Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia Dr Junaidi Abu Bakar, "Mereka berkumpul dalam keadaan basah ditimpa hujan, tanpa makanan dan minuman."

Setakat pagi ini, katanya, seorang penuntut tahun dua yang hanya dikenali sebagai Fernisha, mendapat rawatan di Hospital Yodarso kerana kecederaan tulang belakang dan Yang Dipertua Persatuan Kebajikan Pelajar Malaysia di Indonesia, yang hanya dikenali sebagai Martaza pula pitam setelah jatuh dari motosikal ketika hendak melawat Fernisha.

Katanya, kedutaan sedang berusaha menyalurkan bantuan yang diperlukan para pelajar secepatnya. BERNAMA

Artikel Berikut

Bekas Senator meninggal dunia

Artikel Lain