suria

Kelab Umno hulur bantuan kepada penuntut Malaysia di Padang

KUALA LUMPUR: Kelab Umno Luar Negara hari ini menghulurkan bantuan segera RM10,000 kepada penuntut Malaysia di Padang, Indonesia yang menjadi mangsa gempa bumi yang melanda Wilayah Sumatera Barat, petang semalam.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, yang juga Pengerusi Kelab Umno Luar Negara, berkata bantuan itu bagi meringankan kesukaran para penuntut berkenaan ekoran bangunan universiti dan tempat tinggal mereka rosak dan roboh akibat gempa itu.

Beliau berkata bantuan itu akan diserahkan kepada Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) di Indonesia, Dr Junaidy Abu Bakar sebelum beliau berlepas ke Padang petang ini.

Kelab Umno Luar Negara juga akan meminta Kedutaan Malaysia di Jakarta dan MSD untuk mendapatkan maklumat mengenai bantuan tambahan yang diperlukan oleh kira-kira 300 penuntut Malaysia yang menuntut di sana terutama dalam bidang Perubatan, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jabatan Penuntut Malaysia melaporkan semua penuntut berkenaan selamat dan usaha sedang dilakukan untuk membawa mereka pulang sehingga keadaan pulih.

Sementara itu, Mercy Malaysia telah menghantar Pegawai Program Sokongan Kanan Maria Lauranti dan sukarelawan perubatan Oh Boon Hann ke Padang untuk mengendalikan penilaian bagi menentukan bantuan kemanusian yang diperlukan.

Dalam satu kenyataan, Mercy berkata ia telah mengarahkan sukarelawan Indonesia Azrim Mirza, yang berpejabat di Medan, untuk melakukan penilaian sebelum pasukan Malaysia dihantar ke tempat kejadian.

"Peruntukan awal sejumlah RM100,000 telah disediakan daripada dana kecemasan sebagai maklum balas terhadap bencana ini," kata.

Rakyat Malaysia boleh menyumbang kepada Mercy Malaysia Humanitarian Fund menerusi Maybank nombor akaun 562179504126 atau CIMB Bank nombor akaun 14240006561053. BERNAMA

Artikel Berikut

Bekas Senator meninggal dunia

Artikel Lain