suria

Mahkamah tangguh keputusan berhubung kes Gobind pada 13 Oktober

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) telah menangguhkan kepada 13 Okt keputusannya berhubung permohonan Anggota Parlimen Puchong Gobind Singh Deo untuk menarik balik arahan penggantungannya selama setahun yang dikenakan oleh Speaker Dewan Rakyat pada Mac tahun ini.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Ariff Md Yusof menetapkan tarikh itu selepas memaklumkan peguam Gobind, Karpal Singh dan Peguam Kanan Persekutuan Azizah Nawawi bahawa beliau memerlukan masa untuk meneliri salinan hujahan bertulis daripada kedua-dua pihak.

Mohd Ariff juga berkata beliau perlu meneliti beberapa penjelasan semasa prosiding hari ini oleh Karpal dan Azizah.

Pada 23 April, Gobind memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi di sini, bagi memohon satu pengisytiharan bahawa penggantungannya sebagai Anggota Parlimen adalah batal dan tidak sah dan dalam samannya, beliau mendakwa bahawa penggantungan selama setahun, berkuatkuasa 16 Mac, bertentangan dengan Artikel 8 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau menamakan Speaker Dewan Rakyat, Mohamed Nazri, Setiausaha Dewan Rakyat dan kerajaan sebagai defendan.

Gobind memohon untuk mengisytihar bahawa surat bertarikh 18 Mac dan ditandatangani Setiausaha Dewan Rakyat Datuk Roosme Hamzah, yang menggantung beliau sebagai Anggota Parlimen dan menarik semua seluan dan faedah sebagai Anggota PArlimen, adalah batal dan tidak sah kerana ia tidak boleh dikuatkuasakan di sini undang-undang.

Gobind, 36, juga mahu satu pengisytiharan bahawa beliau berhak kepada elaun dan kemudahan mengikut Artikel 64 dan bahawa prosiding dan keputusan Dewan Rakyat adalah tidak kebal untuk diadili di mahkamah.

Semasa prosiding Rabu, Karpal menjelaskan bahawa isu sama ada menteri berhak membawa usul untuk menggantung Gobind mengikut Perintah Tetap yang jelas menunjukkan bahawa ia perlu dilakukan pada hari yang sama dengan dakwaan kesalahan.

"Bagaimanapun, dalam kes Gobind, usul itu hanya dibentangkan beberapa hari selepas dakwaan kesalahan itu di mana menteri tidak mengikut peraturan di bawah Perintah-perintah Tetap," kata Karpal.

Bagaimanapun, Azizah berhujah bahawa menteri telah bertindak dengan betul kerana beliau mengikut peruntukan di bawah Akta Hak Istimewa dan Dewan Rakyat 1952.

Anggota Parlimen Puchong itu digantung tanpa mendapat sebarang elaun dan kemudahan berikutan kenyataannya di Dewan Rakyat yang mengaitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (ketika itu Timbalan Perdana Menteri) dengan pembunuhan Altantuya Shaariibuu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

7 Oktober hari perdamaian PAS-DAP?

Artikel Lain