suria

UPP tahan warga Myanmar di kawasan sawah padi

KANGAR: Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) menahan 25 warga Myanmar termasuk lima kanak-kanak selepas mereka ditemui merayau-rayau dalam keadaan kelaparan di sebuah kawasan sawah padi di Kampung Pida 13, Tok Pulau dekat sini awal hari ini.

Komander UPP Perlis, DSP Zakaria Abdul Rahman berkata mereka ditahan pukul 1.30 pagi tadi selepas pasukan anggota risik UPP kawasan Kuala Perlis mendapat maklumat awam mengenai kehadiran warga asing itu.

Mereka yang ditahan terdiri daripada 12 lelaki dan lapan perempuan yang berumur antara 18 dan 38 tahun serta lima kanakkanak lelaki berusia antara setahun dan empat tahun, katanya.

Beliau berkata mereka, yang berada dalam keadaan terpinga-pinga, keletihan dan kelaparan semasa ditahan, dibawa ke pejabat UPP kawasan Kuala Perlis untuk siasatan lanjut.

Siasatan awal mendapati mereka meninggalkan Myanmar dan memasuki Thailand pada 21 Sept lalu dan berada di negara itu beberapa hari sebelum memasuki negara ini melalui jalan darat semalam.

Zakaria berkata selepas memasuki negara ini mereka menahan teksi yang menghantar mereka ke kawasan Tok Pulau tetapi di situ mereka kehilangan arah kerana tiada yang menguruskan perjalanan mereka.

Kesemua yang ditahan tidak mempunyai sebarang dokumen dan mereka ditahan mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63, katanya.

Beliau berkata warga Myanmar terbabit mungkin beranggapan perjalanan semasa musim perayaan lebih mudah namun tanggapan itu silap kerana sempadan Malaysia-Thailand sentiasa dikawal rapi dan mereka tidak akan terlepas dengan mudah.

Mereka juga dipercayai ditipu oleh agen yang menjanjikan perjalanan mudah untuk mereka apabila tiada sesiapa yang menguruskan perjalanan mereka sebaik tiba di negara ini.

Kesemua yang ditahan dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut selepas mereka menikmati juadah hari raya dan roti yang disediakan UPP sebagai sarapan dan alas perut. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain