suria

Tujuh lelaki geng samun tepi jalan ditahan

KUALA LUMPUR: Polis menahan tujuh lelaki yang aktif melakukan jenayah samun tepi jalan, tidak sampai dua jam selepas mereka menyamun seorang mangsa di Kelana Jaya petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata ketujuh-tujuh lelaki yang berumur antara 18 hingga 23 tahun itu ditahan selepas polis menerima aduan daripada seorang mangsa mereka di Seapark pukul 1 petang.

"Polis berjaya mengesan dan menahan kesemua mereka kira-kira pukul 2.30 petang, dan kumpulan ini dipercayai terlibat dalam 20 kes samun tepi jalan di sekitar Petaling Jaya," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Beliau berkata turut dirampas bersama kumpulan tujuh lelaki itu ialah empat motosikal yang dipercayai digunakan bagi tujuan melakukan samun, telefon bimbit dan parang.

Katanya kumpulan itu biasanya bergerak dalam kumpulan seramai tujuh hingga lapan orang dengan menaiki motosikal dan apabila ada peluang, mereka akan menahan mangsa, mengacukan parang, sebelum menyamun.

"Bagaimanapun tiada kes kumpulan ini mencederakan mangsa dan dari ujian air kencing yang dilakukan kesemua mereka negatif dari dadah," katanya dan menambah kes itu sedang disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, dalam satu kes berasingan seorang pegawai polis berpangkat Inspektor yang ditahan kerja kerana rasuah, ditahan setelah melakukan jenayah ugutan dengan meminta wang perlindungan dari sebuah restoran di Sunway Desa Mentari.

Difahamkan lelaki berumur 30-an itu turut mencuri uniform seorang pegawai polis berpangkat ASP dan menggunakan uniform itu untuk melakukan jenayah tersebut.

Berikutan laporan polis yang dibuat pihak restoran tersebut, lelaki itu ditahan pada Sabtu lepas.

Arjunadi ketika ditanya mengenai perkara itu mengesahkan penahanan dan berkata lelaki itu ditahan reman sehingga 30 Sept, dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain