suria

Remaja menyamar anggota polis ditahan

PETALING JAYA: Curiga terhadap dua remaja lelaki yang memperkenalkan diri mereka sebagai anggota polis, lapan pelajar wanita sebuah kolej swasta di sini bertindak mengejar dan menahan seorang daripada suspek tersebut.

Kejadian berlaku pada kira-kira 3.30 pagi tadi ketika lapan pelajar wanita berkenaan yang berumur lingkungan awal 20an didatangi suspek yang berumur 16 dan 17 tahun berhampiran asrama mereka di Ara Damansara di sini dengan memperkenalkan diri sebagai anggota polis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata, suspek kemudiannya meminta kad pengenalan pelajar-pelajar itu untuk pemeriksaan namun kumpulan pelajar itu merasa curiga lalu meminta suspek menunjukkan kad kuasa.

"Selepas suspek enggan menunjukkan kad kuasa dan cuba melarikan diri, kumpulan pelajar itu bertindak mengejar suspek dan berjaya menahan suspek yang berumur 16 tahun sebelum menghubungi polis, manakala seorang lagi suspek berjaya melarikan diri," katanya pada sidang berita di sini hari ini.

Setengah jam sebelum kejadian itu, kedua-dua suspek yang hanya berpakaian biasa dikatakan telah menyamun sekumpulan remaja lelaki yang berusia belasan tahun berhampiran pusat sukan futsal di Kelana Jaya dengan menggunakan taktik yang sama.

Arjunaidi berkata polis menemui sebuah telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM450 pada suspek yang ditahan.

Sementara itu dalam kes lain, dua lelaki berusia 34 dan 22 tahun ditahan petang semalam atas kesalahan menyamun, mencuri kereta dan cubaan menculik kanak-kanak.

Kedua-dua suspek ditahan di Jalan SS4C, Kelana Jaya pada pukul 5 petang semalam selepas polis mengejar suspek yang cuba menculik seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun di hadapan sebuah sekolah di Kelana Jaya selepas menyedari kehadiran kereta peronda polis, katanya.

Beliau berkata semasa mereka cuba melarikan diri, kereta suspek gagal dikawal lalu terbabas di bahu jalan di Jalan SS4C.

Mereka didapati menaiki kereta yang dilaporkan dicuri pada pukul 11 pagi semalam di Taman Medan dekat sini, dan dua jam selepas itu, kedua-dua suspek dikatakan menyamun seorang wanita berusia lingkungan 40-an di sekitar Kelana Jaya, dan polis menemui dua utas rantai emas yang dianggarkan bernilai RM1,000 dipercayai milik wanita itu, katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain