suria

Polis tahan suspek kes bunuh kira-kira 2 jam selepas kejadian

KUANTAN: Polis menahan seorang lelaki berumur 32 tahun yang dipercayai dapat membantu siasatan berhubung satu kes pembunuhan seorang pembantu bengkel di Kampung Pandan 2 Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan, pada Isnin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, ACP T. Narenasagaran berkata suspek yang berasal dari Kampung Seri Damai ditahan di tepi Jalan Taman Perumahan Sri Mahkota, Jalan Gambang dekat sini pada pukul 11.30 pagi.

Beliau berkata dalam kejadian semalam, M. Patchaiyapan, 23, yang tinggal di Lorong 28, Sri Damai Aman, Jalan Gambang dekat sini dijumpai mati kira-kira 9.40 pagi.

"Berdasarkan maklumat awam, polis berjaya memberkas suspek beberapa jam selepas pembunuhan, dan suspek yang dipercayai berhasrat menyamun Patchaiyapan dikatakan berada di bawah pengaruh dadah semasa kejadian," katanya ketika ditemui pemberita di sini, pada Selasa.

Sementara itu dalam kes berasingan, polis sedang memburu seorang lelaki warga Indonesia yang dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan seorang penoreh getah di Felda Chegar Perah Satu dekat Kuala Lipis Sabtu lepas.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Supt Nordin Mustapha berkata penoreh getah yang dikenali sebagai "Irwan" yang juga warga Indonesia itu ditemui mati oleh penduduk kampung di belakang sebuah pusat pengumpulan getah di kawasan berkenaan.

Beliau berkata suspek yang dikenali dengan nama panggilan "Baron", berumur dalam lingkungan 29 hingga 30 tahun dan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan.

Katanya suspek yang baru tiga bulan menetap di ladang getah itu dipercayai tidak berkerja dan hanya menerima upah mengutip serta menoreh getah, dan polis percaya suspek sudah keluar dari daerah Kuantan kerana ada saksi mengaku menghantar suspek ke stesen bas di Kuantan.

"Suspek dikatakan hendak ke Kuala Lumpur," katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain