suria

PERTEMUAN & PERPISAHAN...

Kenangan re-union kelas 1977-1981 BM High School pada raya kedua baru-baru ini.
Kenangan re-union kelas 1977-1981 BM High School pada raya kedua baru-baru ini.
Kenangan re-union kelas 1977-1981 BM High School pada raya kedua baru-baru ini.

SAYA ada dua masalah besar. Masalah pertama ialah kesukaran untuk mengingati nama orang. Masalah kedua ialah kesukaran untuk mengecam muka orang, apatah lagi bagi mereka yang telah bertahun tidak saya temui.

Maka apabila berselisih dengan Ibrahim, saya akan pangil Rahim atau ketika bertembung dengan Amran saya akan panggil Amir.

Untuk mengelak daripada berhadapan dengan ‘kemaluan’ yang sangat besar akibat kegagalan untuk mengingati nama orang yang sepatutnya saya kenali itu, saya akan memanggil nama mereka dalam suara yang kedengaran samar-samar agar ‘Ibrahim’ akan kedengaran seperti ‘Rahim’ apabila disebut.

Taktik ini saya pelajari daripada ayah saya Pak Rahman. Tetapi masalah untuk mengingati nama orang lebih-lebih lagi jika orang itu adalah rakan sekolah yang bertahun-tahun menghabiskan masa persekolahan bersama kita, adalah sesuatu yang tidak wajar. Kita mungkin akan menyingung perasaan orang.

Oleh itu apabila pelajar-pelajar Bukit Mertajam High School, kelas 1977-81, mengadakan pertemuan semula atau re-union pada hari raya kedua, saya berada dalam keadaan serba salah dan gelisah walaupun sayalah orangnya yang mendesak agar pertemuan itu diadakan.

Pertemuan kali ini seingat saya adalah yang paling ramai sekali hadir. Lebih daripada 35 orang rakan setingkatan yang hadir. Ada sesetengahnya sejak dari sekolah rendah lagi.

Jimit, rakan sekelas sejak dari darjah 6 di Sekolah Rendah Stowell Bukit Mertajam menjadi juruhubung.

Ini kerana Jimitlah satu-satunya rakan sekolah yang masih kekal berhubung dengan semua orang. Rangkaiannya dengan kawan-kawan sekolah cukup luar biasa. Hanya dengan notis tiga hari Jimit telah berjaya menghubungi dan mengumpulkan sejumlah bekas pelajar yang sebegitu ramai.

Ironinya, walaupun saya yang mengunjurkan pertemuan itu, tetapi bila malam pertemuan itu tiba, saya sengaja melengah-lengahkan kehadiran saya. Janji jam sembilan malam. Saya datang lebih sejam kemudian sedangkan tempat pertemuan itu hanya kurang lebih 800 meter dari kediaman orang tua saya.

Saya khuatir jika saya tiba awal, saya tidak dapat mengecam ramai muka kawan lama yang ada di antaranya sudah lebih 30 tahun tidak saya temui.

Sememangnya ini adalah memalukan dan tidak wajar tetapi saya tidak ada pilihan. Dan yang lebih memalukan ialah sebaik sahaja saya masuk ke restoran tempat kami berkumpul, semua yang hadir mengenali saya tetapi ada sebahagian besar wajah yang saya tidak cam langsung apatah lagi hendak mengingat nama.

Jika saya berselisih dengan Raymond Tan nescaya saya tidak akan berupaya mengecam dia lagi kerana lelaki Cina paling hensem di High School dan menjadi pujaan ramai kerana dia adalah hero kami untuk pasukan bolasepak bawah 15 dan kemudian 18 tahun sudah berisi dan tembam.

Malah saya tidak dapat mengecam dan mengingati nama dua orang rakan sekelas saya ketika kami di darjah enam. Amran dan Mazlan Maulana, saya minta maaf banyak-banyak kerana kali terakhir saya bertemu kalian ialah 30 tahun yang lalu.

Begitu juga dengan Zaki, Rosli Che Ani, Ismail, Haslam dan Tayalan.

Tetapi saya merasa lega kerana saya masih ingat dan kenal dengan Zubir, Sundaresan (Chuaik), Pius Heng, Zulkarnain, Anuar Nordin, Rosman, Suhaimi Sirat, Zul Pak Hitam, Riduan Toran dan Rashid. Saya berasa sungguh gembira kerana dapat berjumpa Pius kerana dia dan saya di kelas yang sama sejak dari darjah 6 sehinggalah kami tamat belajar di Tingkatan Enam Sastera 3.Selepas itu kami tidak pernah bertemu-temu lagi.

Chuaik adalah satu-satunya dari kalangan kami yang kembali ke High School sebagai guru. Dia adalah pemain hoki sekolah dan juga negeri. Dahinya melekuk seperti terbenam dek akibat kena bola hoki. Kini dia adalah jurulatih hoki sekolah.

Kehadiran Pius pada malam itu dan lain-lain mengubati rasa rindu kepada kawan-kawan lama lebih-lebih lagi Zul Pak Hitam dan Rashid. Kedua-duanya suka membuli saya ketika di sekolah kerana saya adalah ketua darjah dan pengawas.

Rashid mempunyai seorang lagi pasangan kembar bernama Rahim. Dia dan pasangan kembar seirasnya Rahim tersangat ‘buas’ ketika di tingkatan empat dan lima. Saya mengaku saya tidak dapat mengawal mereka. Lebih-lebih lagi Rashid yang sekelas dengan saya sering kali ‘bertukar kelas suka sama suka’ dengan saudara kembarnya Rahim yang belajar di kelas sebelah apabila tiba waktu kelas matematik dan bahasa Melayu.

Saya tidak dapat membezakan kedua-duanya kerana mereka sama pendek dan sama iras.Begitu juga dengan cikgu kami. Mereka sering celaru antara kedua-dua kembar ini. Mana satu Rashid mana satu Rahim.

Rashid dan Rahim mengambil peluang dan kesempatan ini untuk bertukar-tukar kelas ikut suka hati mereka tanpa dapat dikesan oleh kebanyakan kami dan juga cikgu sepanjang mereka berada di High School.

Zul Pak Hitam sepertimana Raymond juga pemain bolasepak sekolah. Dia sering menanduk bolas ke gawang lawan menggunakan tangannya dan bukan kepala. Tetapi kelicikan dia melindungi tangannya daripada kelihatan menerjah bola masuk gawang adalah satu lagenda. Kini Zul adalah seorang anggota polis di Kedah dan Rashid adalah pilot kepala kereta api. Pius bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Jit Sin.

Dan jika tidak kerana pertemuan pada malam itu, saya juga tidak mengetahui bahawa seorang lagi rakan sekolah kami bernama Rejab telah melalui proses transformasi diri sepenuhnya.

Khabarnya kini Rejab telah menjadi penghibur sepenuh masa. Telah bertukar nama dan juga gaya hidup. Dia adalah sebahagian daripada dunia paper doll. Sukar untuk mempercayainya kerana sekolah kami adalah sekolah lelaki sepenuhnya kecuali untuk kelas Tingkatan Enam Bawah dan Atas, kami akan menerima pelajar-pelajar dari Sekolah Menengah Convent Bukit Mertajam.

Tetapi itulah yang saya diberitahu. Mereka siap menunjukkan gambar Rejab sedang beraksi dengan pakaian rambu-ramba lagi. Dunia...dunia.

Juga pada malam pertemuan itulah, saya dimaklumkan bahawa Bistaman telahpun meninggalkan kami semua buat selama-lamanya. Lebih terkilan dia telah meninggal dunia tiga tahun yang lepas dan saya baru mengetahuinya minggu lalu.

Kali terakhir saya bertemu Bistaman ialah lebih kurang lima tahun yang lalu apabila re-union yang pertama diadakan di rumah orang tua saya.

Sedih, sebak dan perasaan marah serta bersalah menerkam menusuk jiwa saya seolah-olah seperti saya mengabaikan seorang kawan yang saya kenali sejak di sekolah rendah lagi. Dia meninggal kerana disengat tebuan ketika sedang membaiki tangki air di rumah pelanggannya.

Tiada siapa yang memaklumkan tentang kematiannya kepada saya kerana pada waktu itu semua orang seperti tidak percaya yang kami telahpun kehilangan Bistaman.

Ketika di darjah enam dan tingkatan satu, saya seringkali berbasikal dari Seberang Jaya ke rumahnya di Bukit Tengah kerana di hadapan rumahnya terdapat sebidang tanah bendang.

Di situlah dia mengajar saya bagaimana hendak menangkap ikan pelaga dan bagaimanakah hendak mengetahui lubuk ikan pelaga. Ia adalah kenangan yang sangat manis dan sudah pastinya tidak dilalui oleh generasi baru yang tinggal di bandar termasuk anak-anak saya.

Dan ketika dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur, saya memandu kereta melintasi kawasan rumah keluarga Bistaman. Rumah kampung itu telah tiada dan bendang tempat kami bermain juga sudah tiada - hilang bersama Bistaman.

Selamat tinggal Bistaman dan semoga rohmu di tempatkan bersama orang-orang yang beriman...

Artikel Berikut

Artikel Lain