suria

Kegembiraan pencuri bertukar duka beberapa minit selepas melarikan barang curi

SHAH ALAM: Kegembiraan dua lelaki yang memecah masuk sebuah rumah dan melarikan empat buah komputer riba bernilai RM11,600 di TTDI Jaya bertukar duka apabila kereta yang mereka naiki dihalang oleh kereta polis peronda.

Pemangku Ketua Polis Daerah Shah Alam, DSP Anuar Mohamad berkata kedua-dua lelaki itu yang menaiki Proton Iswara putih ditahan di Jalan Monfort tidak jauh dari taman perumahan itu pada pukul 11.45 pagi semalam.

Kejayaan ini hasil bantuan orang ramai yang memaklumkan kepada pihak polis mengenai butir-butir suspek seperti warna, jenis kereta dan nombor pendaftarannya serta kepantasan pasukan peronda polis bertindak selepas menerima aduan orang ramai, katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Polis menerima panggilan kecemasan daripada penduduk taman itu pada pukul 11.38 pagi apabila mereka melihat dua lelaki cuba memasuki sebuah rumah di taman itu tetapi gagal dan suspek kemudian memasuki sebuah rumah yang tidak jauh dari rumah pertama itu, yang disewa pelajar-pelajar sebuah politeknik berhampiran.

Anuar berkata suspek berjaya memasuki rumah kedua itu setelah berjaya membuka gril dan pintu rumah itu dan melarikan empat buah komputer riba.

Polis percaya kedua-dua suspek berumur 19 dan 20 tahun yang tidak mempunyai rekod jenayah sebelum ini telah beberapa kali memecah rumah di sekitar Bukit Jelutong dan TTDI Jaya berdasarkan kaedah memecah rumah dan peralatan yang digunakan iaitu beberapa batang kunci dan pin penyepit rambut, dua pemutar skru, playar dan sepana kecil.

Mereka yang berasal dari Cheras dan Kota Tinggi kini ditahan reman mulai hari ini sehingga 2 Okt dan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Selangor Datuk Hasnan Hassan berkata polis berjaya menahan dua lelaki berumur 22 dan 43 tahun dari Klang kerana disyaki terlibat dalam kegiatan menyamun sebuah kereta mewah pada pagi Rabu lepas (23 Sept).

Mereka ditahan di jalan susur keluar dari Taman Sri Muda ke Lebuhraya Kesas pada pukul 5.00 pagi oleh anggota-anggota polis yang menaiki dua buah kereta peronda, katanya dalam satu kenyataan akhbar.

Kedua-dua lelaki itu masing-masing mempunyai dua dan 12 rekod jenayah dan dikehendaki polis kerana terlibat dengan kes samun.

Hasil siasatan, polis menemui semula wang tunai RM2,007, jam tangan Rolex bernilai RM27,000, sebentuk cincin emas, sebuah telefon bimbit dan sebuah Toyota Camry 2.4.

Pemilik kereta itu dirompak semasa sedang tidur di dalam keretanya yang diberhentikan di tepi lebuhraya ketika dalam perjalanan pulang dari Klang ke Jalan Kemuning di sini.

Apabila pengadu tersedar beliau mendapati dua lelaki telah memasuki keretanya dan salah seorang daripada mereka mengacukan pisau kepadanya serta meminta pengadu menyerahkan barangan berharga kepada mereka. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain