suria

Dua ditahan selepas dikejar polis

KUALA LUMPUR: Polis peronda menahan dua daripada tiga lelaki mencurigakan berhampiran Plaza Tol Sungai Penchala di sini hari ini setelah mengejar mereka sejauh dua kilometer dan melepaskan satu tembakan amaran.

Kejadian pukul 7.15 pagi tadi itu bermula apabila anggota polis yang sedang meronda di Laman Rimbunan Raya 1, Kepong bertembung dengan sebuah kereta Proton Wira bersama tiga lelaki yang mencurigakan itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul Supt Zainuddin Ahmad berkata anggota polis mengarahkan mereka berhenti namun mereka terus memecut ke arah plaza tol.

"Polis terpaksa mengejar mereka sejauh kirakira dua kilometer sehingga Plaza Tol Sungai Penchala mengakibatkan suspek terpaksa turun dari kereta dan melarikan diri," katanya ketika dihubungi.

Polis melepaskan satu tembakan amaran dan akhirnya berjaya menangkap dua daripada tiga suspek berkenaan.

Kedua-dua suspek berusia dalam lingkungan umur 20an dan dipercayai mahu memecah masuk rumah di kawasan perumahan itu berdasarkan penemuan pelbagai alat di dalam kereta yang dirampas.

"Kereta itu juga didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu," katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain