suria

UPP rampas kulit serigala, tahan seorang lelaki

ALOR SETAR: Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kedah merampas 17 keping kulit dipercayai kulit serigala bernilai kirakira RM8,000 daripada seorang lelaki tempatan yang ditahan di kawasan letak kereta Stadium Darul Aman di sini, petang semalam.

Komandernya Mohd Noor Idris berkata kulit haiwan itu dipercayai diseludup masuk ke negara ini dari Hong Kong menggunakan perkhidmatan kurier yang dialamatkan di sebuah rumah di Kuala Kedah.

"Setelah mendapat maklumat, sepasukan anggota UPP menahan dan memeriksa sebuah kereta berhampiran Stadium Darul Aman pukul 6 petang semalam dan menemui dua bungkusan mengandungi lima keping kulit haiwan itu dalam bonet kereta," katanya kepada pemberita di pejabat UPP Kuala Kedah, malam tadi.

Menurut Mohd Noor, kulit haiwan itu dipercayai spesis haiwan berasal dari China dan dilarang import.

Katanya selepas disoalsiasat, lelaki itu membawa pasukan UPP ke sebuah rumah di Jalan Kuala Kedah, dekat sini dan menemui 12 keping lagi kulit haiwan itu.

Kulit haiwan itu dipercayai untuk dijual di pasaran tempatan sebagai barang hiasan rumah dan sekeping boleh mencecah sehingga RM500, kata Mohd Noor.

Katanya kes tersebut diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut. BERNAMA

Artikel Lain