suria

Tourism Malaysia sasar tingkatkan kedatangan pelancong Brazil

LANGKAWI: Tourism Malaysia mensasarkan untuk meningkatkan kedatangan pelancong Brazil ke Malaysia antara tujuh dan lapan peratus tahun ini berbanding 3,000 pelawat pada tahun lepas.

Naib Presiden Tourism Malaysia bagi Amerika Barat/Amerika Latin, Mazlan Araju berkata peningkatan itu turut mengambilkira keadaan ekonomi yang melanda dunia dan penyakit Influenza A (H1N1).

" Promosi lebih hebat memperkenal Malaysia sebagai destinasi menarik dengan menonjolkan kebudayaan, kesenian, makanan dan pusat membeli-belah boleh memikat mereka," katanya kepada pemberita semasa menyertai sembilan ejen pelancongan dan media Brazil menganyam ketupat serta membuat lemang, dodol dan rendang daging bagi program 'Mega Familiarisation' sempena Aidilfitri di Kampung Wang Tok Rendong Kuah di sini Ahad.

Tourism Malaysia melancarkan program 'Mega Familiarisation' sempena Aidilfitri 2009 serentak di enam inap desa di seluruh negara membabitkan lebih 100 pelancong termasuk media dan pengusaha pelancongan dari 13 negara seperti Brazil, Amerika Syarikat, Australia, Jerman, Belanda, Singapura, Korea, China, Taiwan dan Vietnam.

Inap desa terbabit ialah di Kampung Wang Tok Rendong (Kedah), Kampung Walai Tokou (Sabah), Kampung Santubong (Sarawak), Sungai Pasu (Pahang), Kampung Pachitan (Negeri Sembilan) dan Kampung Seterpa (Kelantan).

Beliau berkata Tourism Malaysia turut mengadakan promosi semasa menyertai Brazilion Association Off Travel Agent Congress (ABAV) di Rio De Janeiro pada Oktober tahun lepas yang mendapat sambutan.

Pelancong Brazil tertarik dengan kehidupan rakyat negara ini berbagai kaum dengan kebudayaan masing-masing, katanya.

Mazlan berkata beliau sedang mengatur program untuk mengadakan kerjasama dengan Kedutaan Malaysia di negara-negara Amerika Latin dan sekitarnya sebagai usaha mengadakan promosi.

Mengenai program 'Mega Familiarisation' itu, beliau berkata ia membolehkan pelancong menikmati produk pelancongan seperti suasana sambutan Hari Raya di Malaysia dan mengenali inap desa.

Katanya pelancong-pelancong ditempatkan dengan keluarga angkat di inap desa terbabit supaya mereka dapat merasai suasana kehidupan kampung.

Selain menyertai aktiviti seperti persediaan sebelum menyambut hari raya termasuk menganyam ketupat serta membuat lemang dan dodol, pelancong turut menyertai aktiviti sampingan menoreh getah, menyediakan kraftangan berasas lidi kelapa dan melawat bengkel kraf marmar. BERNAMA

Artikel Lain