suria

PM: Asrama 1Malaysia untuk tingkatan 4 tahun depan di Lembah Klang

PUTRAJAYA: Kerajaan memutuskan untuk membina asrama berkonsepkan gagasan 1Malaysia bagi kemudahan pelajar pelbagai kaum yang kurang bernasib baik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak, petang Isnin.

Kemudahan pertama itu akan didirikan di Lembah Klang tahun depan, katanya.

"Buat permulaan sebuah tapak bangunan akan dikenal pasti dan ia akan diubah suai menjadi asrama supaya pelajar-pelajar pelbagai kaum dapat tinggal di situ berasaskan semangat 1Malaysia," kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Masyarakat India di pejabatnya hari ini.

Mesyuarat itu turut dihadiri oleh Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu dan tiga Naib Presiden parti itu iaitu Datuk Dr. S. Subramaniam, Datuk S.K. Devamany dan Datuk M. Saravanan.

Najib yang memperkenalkan gagasan 1Malaysia selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada April lalu menambah, pelajar-pelajar berkenaan akan terdiri daripada mereka yang belajar di sekolah menengah khususnya tingkatan empat ke atas.

"Mereka akan tinggal di asrama dan dihantar ke sekolah-sekolah di Lembah Klang," kata beliau sambil menambah, ia akan dijadikan percubaan sebelum diperluaskan kelak.

Kata beliau, kemudahan ini disediakan untuk golongan pelajar yang menghadapi masalah tekanan keluarga di tempat tinggal masing-masing.

Bagaimanapun Najib memberitahu, ia tidak mirip Sekolah Wawasan yang diperkenalkan beberapa tahun yang lalu.

Jawatankuasa itu ditubuhkan tahun lalu selepas pilihan raya umum bagi membantu mempertingkatkan taraf hidup masyarakat India dan dipengerusikan Najib selaku Timbalan Perdana Menteri.

Kali ini beliau mempengerusikannya sebagai Perdana Menteri.

Ia membincangkan pelbagai isu dari kemudahan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), peluang pekerjaan bagi masyarakat India di sektor awam, pemberian biasiswa, pinjaman perniagaan kecil dan sederhana sehinggalah kepada usaha menambah ekuiti masyarakat India.

Antaranya, Najib berkata, walaupun kerajaan telah memperuntukkan RM100 juta sebelum ini untuk meningkatkan taraf SJKT, tetapi ia tidak mencukupi ekoran kenaikan kos.

"Peruntukan tambahan di mana dalam pakej rangsangan ekonomi kedua, peruntukan sebanyak RM100 juta telah diberikan, yang merupakan jumlah terbesar, sukalah saya nyatakan bahawa tindakan telah pun diambil oleh JKR.

"Tender telah dipanggil, tetapi kos untuk memperbaiki setiap bilik darjah telah melebihi kos asal.

"Oleh itu, jawatankuasa Kabinet telah meminta kementerian-kementerian berkenaan untuk mengkaji cara-cara untuk mengatasi masalah ini... bagaimana sekolah atau bangunan tambahan tidak dapat dilaksanakan disebabkan peruntukan yang tidak mencukupi," katanya.

Artikel Lain