suria

Peniaga dihukum gantung kerana edar dadah

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah lima tahun lepas.

Azhar Abdul Latiff, 47, yang berdiri di kandang tertuduh kelihatan lesu dan bergenang matanya cuba menahan linangan air mata, manakala ahli keluarganya yang berada di galeri awam turut kelihatan sebak.

Pesuruhjaya Kehakiman Azman Abdullah menjatuhi hukuman itu itu selepas mendapati Azhar gagal menimbulkan keraguan munasabah ketika dipanggil membela diri pada 8 Jun lalu.

Azhar yang mempunyai seorang anak berusia 11 tahun didakwa mengedar dadah jenis heroin seberat 101.8 gram dan 54.0 gram Monoacetylmorphines di hadapan Hotel Grand Central, Jalan Putra off Jalan Raja Laut, di sini pada 3 Jun 2004, pukul 8 malam.

Kes mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 itu mula dibicarakan pada 27 Nov 2008 hingga 9 Sept lalu.

Pendakwaan dilakukan oleh Ahmad Akhram Gharib manakala Azhar diwakili peguam Gurbachan Singh. BERNAMA

Artikel Lain