suria

Pemansuhan borang 2 undi pos tapi tak dapat dilaksanakan di Bagan Pinang

PETALING JAYA: PAS hari ini terus mendesak supaya borang 2 yang mengandungi maklumat pengundi pos dihapuskan bagi menjamin ketelusan dan mengelakkan rasa takut di kalangan pengundi pos untuk mengundi pembangkang.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, perkara itu telah diusulkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam pertemuan kira-kira dua jam bermula pukul 11.30 pagi Isnin di ibu pejabat SPR di Putrajaya.

Bagaimanapun kata beliau, cadangan tersebut tidak dapat dipertimbangkan untuk pilihan raya kecil Bagan Pinang oleh SPR kerana ia perlu terlebih dahulu dibawa ke Parlimen untuk pindaan.

"Kita telah usulkan supaya borang 2 dihapuskan. Ini penting supaya ia akan dapat menghapuskan 'fear factor' yang membelenggu pengundi-pengundi pos yang terdiri daripada anggota-anggota keselamatan.

"Kita begitu menghormati golongan ini yang mempunyai semangat besar kepada negara dan kita mahu ia dibalas dengan prosedur (undi pos) yang lebih telus dan mereka dapat membuat satu pilihan yang tidak dibelenggu 'fear factor' ini," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Beberapa pemimpin PAS sebelum ini menyuarakan desakan berhubung pemansuhan borang 2 berikutan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang yang akan diadakan 11 Oktober ini mempunyai 4,604 pengundi pos daripada 13,664 pengundi berdaftar.

Borang 2 adalah Borang Pengisytiharan Identiti bagi pengundi-pengundi pos yang akan turut dikepilkan bersama kertas undi dan dimasukkan ke dalam sampul surat untuk tujuan pengiraan pada hari mengundi.

Salahuddin berkata, dalam pertemuan antara 15 wakil PAS yang diketuai beliau dengan 15 wakil SPR yang diketuai Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof itu, PAS turut mengusulkan dua lagi perkara termasuk menghapuskan sampul-sampul surat yang tidak berkaitan bagi pengundian pos dan pengiraan undi pos yang dilakukan hampir dengan hari mengundi.

"Sebaiknya undi pos dikira di hadapan ejen atau kalau tidak, wakil-wakil calon perlu dibenarkan berada dengan karung undi pos itu sepanjang masa," katanya.

Salahuddin menambah, SPR telah menyambut baik cadangan-cadangan yang diutarakan namun ia tidak dapat dilakukan dengan segera kerana perkara itu memerlukan kelulusan Parlimen.

"Ia tidak dapat dilaksanakan pada pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang.

"Bagaimanapun, SPR memberikan tempoh masa...mungkin pilihan raya umum akan datang, kita dapat melihat perubahan di mana beberapa pindaan akan dibuat," katanya.

Jelas beliau, SPR turut mengakui bahawa perbincangan pagi tadi begitu berhasil dan berharap ia akan dapat dilakukan sekurang-kurangnya tiga bulan sekali.

Artikel Lain