suria

Lebih 1 nama dipertimbangkan bagi Bagan Pinang - Muhyiddin

PUTRAJAYA: Barisan Nasional (BN) menerima lebih daripada satu nama yang dicadangkan sebagai calon BN bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang di Negeri Sembilan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Lebih dari satu (calon) telah dinamakan dan ini (calon) akan diputuskan esok pada sebelah petang di Bagan Pinang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Kementerian Pelajaran di sini hari ini.

Kepada soalan sama ada akan terdapat bantahan terhadap calon yang dipilih oleh BN, katanya beliau fikir tidak ada.

"Apa sahaja keputusan oleh pucuk pimpinan, ahli-ahli parti dari semua peringkat dan parti-parti komponen akan terima secara baik," katanya.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Azman Mohamad Noor dari BN pada 4 Sept. Penamaan calon ditetapkan Sabtu ini manakala pengundian pada 11 Okt.

Mengenai langkah Gerakan untuk memulakan pencarian calon-calon untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang, Muhyiddin berkata adalah lebih baik perkara itu dibincangkan di peringkat tertinggi BN terlebih dahulu.

"Ini tidaklah bermakna parti-parti tidak boleh buat perancangan awal, itu terserah kepada mereka, tetapi apapun lebih baik dibincangkan di peringkat tertinggi parti, sama ada perkara seperti itu sesuai nak buat sekarang untuk PRU (pilihan raya umum) 13," katanya.

Beliau berkata agenda utama pada masa ini bagi setiap parti komponen ialah untuk melakukan perubahan dan memperkukuhkan parti.

"Ini bagi kita penting, kerana kalau tidak lakukan segera, kita bimbang rakyat berkata tiada perubahan dan sebab itu mungkin mereka tidak mahu dampingi atau yakin dan percaya usaha yang dibuat pimpinan parti atau kerajaan.

"Proses transformasi di peringkat parti agak lambat sedikit. Kita patut aturkan selari, ini penting bagi setiap komponen parti untuk ambil inisiatif selesai masalah mereka, kukuhkan balik perpaduan dalam parti, aturkan agenda-agenda yang difikirkan sesuai untuk memberi bantuan dan sokongan kepada rakyat jelata," katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. BERNAMA

Artikel Lain